Bernama.com
Am 07 November, 2009 17:10 PM
 
Gerakan Mencari Mangsa Lemas Di Kelantan Diteruskan


PASIR PUTEH, 7 Nov (Bernama) -- Gerakan mencari Mohd Mazlan Yajid, yang dilaporkan hilang di Sungai Kampung Banggol Kerian di sini Jumaat masih diteruskan.

Pegawai Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh Kaharuddin Yahya berkata usaha mencari mangsa disambung semula pukul 8.30 pagi tadi sehingga petang Sabtu.

Katanya gerakan mencari itu membabitkan 40 anggota bomba dan penyelamat, polis, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta penduduk kampung dengan menggunakan lima buah bot.

"Gerakan itu dilancarkan bermula dari tempat kejadian sehingga Jambatan Tok Bali sejauh lebih 5 kilometer," katanya ketika ditemui di sini, Sabtu.

Beliau berkata usaha mencari mangsa lebih mudah kerana paras air sungai itu semakin surut berikutan hujan mulai reda dan keadaan cuaca mulai cerah, hari ini.

Mohd Mazlan, 28, dilapor hilang ketika mandi di Sungai Banggol Kerian selepas dikatakan terjun ke sungai itu untuk mandi kira-kira pukul 6.30 petang sebelum hilang dibawa arus sungai.

-- BERNAMA
Copyright © 2009 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels