| Kerja Naik Taraf LTSAS Bermula Awal Tahun Depan |
|
IPOH, 7 Nov (Bernama) -- Kerja menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di sini akan bermula awal tahun depan sebaik sahaja kontraktor untuk projek itu dilantik oleh Kementerian Pengangkutan, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.
Beliau berkata Kabinet dalam mesyuarat mingguannya semalam telah meluluskan peruntukan sebanyak RM60 juta untuk kerja naik taraf lapangan terbang itu.
"Peruntukan itu bagi memanjangkan landasan LTSAS dari 1,800 meter ke 2,000 meter selain untuk meningkatkan kemudahan di Kompleks Kastam dan Imigresen serta kemudahan pengangkutan awam di kawasan itu," katanya kepada pemberita selepas majlis pecah tanah pembinaan semula Pasar Tanah Hitam, Chemor di sini pada Sabtu.
Beliau berkata projek berkenaan apabila siap akan merancakkan lagi aktiviti pembangunan ekonomi di Perak.
-- BERNAMA
|
|
|