| Pasukan Khas Pantau Keberkesanan Program Bekerja Dari Rumah - Shaziman |
|
TAMPIN, 7 Nov (Bernama) -- Pasukan khas akan ditubuhkan bagi memantau keberkesanan program pelukis pelan Jabatan Kerja Raya (JKR) berkerja dari rumah, kata Menteri Kerja Raya Datuk Shaziman Abu Mansor.
Beliau berkata pasukan itu akan bertanggungjawab memantau hasil kerja dan produktiviti 35 pelukis pelan yang terlibat dalam program perintis bekerja dari rumah mulai Januari tahun depan.
"Tempoh percubaan adalah dalam jangka masa tiga bulan iaitu Januari hingga Mac tahun depan untuk melihat jika ia boleh disesuaikan dengan iklim pekerjaan tempatan," katanya kepada pemberita pada majlis sambutan Hari Keluarga JKR Negeri Sembilan di sini pada Sabtu.
Tempoh percubaan itu bertujuan untuk menilai keberkesanan program itu, katanya.
"Sekiranya, penilaian mendapati projek itu gagal meningkatkan produktiviti kerja, ia akan dibatalkan pada bila-bila masa," katanya.
Di luar negara, bekerja dari rumah sudah menjadi perkara biasa malahan syarikat antarabangsa yang membuka pejabat mereka di Malaysia juga mengalakkan kakitangan mereka bekerja dari rumah, katanya.
"Kita mesti berani membuat perubahan, yang pentingnya adalah hasilnya yang mampu dimanfaatkan oleh semua pihak," katanya.
Katanya program itu bukan sahaja memudahkan kakitangan yang terlibat tetapi ia juga dapat membantu mengurangkan kos kementerian dalam penyediaan ruang pejabat dan perkakas kerja untuk kakitangan.
-- BERNAMA
|
|
|