| Wang Ihsan Akan Disalurkan Melalui JPP, Kata Awang Adek |
|
PASIR PUTEH, 7 Nov (Bernama) -- Wang ihsan yang akan diberikan kepada Kelantan akan disalurkan menerusi Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) bagi melaksanakan pelbagai program, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin.
Beliau berkata pemberian wang ihsan itu dibuat di atas hasrat murni kerajaan pusat yang ingin membantu rakyat Kelantan.
"Rakyat Kelantan sepatutnya bersyukur dengan keputusan itu," kata Awang Adek yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan kepada pemberita selepas menerima kunci van untuk kegunaan Umno Bahagian Bachok di Perupuk di sini, pada Sabtu.
Rabu lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan kerajaan pusat akan memberikan wang ihsan kepada kerajaan Kelantan mulai tahun depan bagi hasil pengeluaran minyak di luar pesisir pantai negeri itu.
Awang Adek menjelaskan kerajaan negeri Kelantan tidak berhak mendapat royalti minyak kerana dua telaga minyak yang dipertikaikan itu terletak di kawasan 150 batu nautika dari perairan Kelantan.
Berdasarkan undang-undang, Kelantan hanya berhak menuntut wang royalti sekiranya terdapat sumber petroleum yang dihasilkan dalam perairan negeri berkenaan.
Perairan negeri ditakrifkan sebagai terletak tidak melebihi tiga batu nautika yang diukur dari tikas air surut atau pesisir pantai negeri tersebut.
Mengenai hasrat kerajaan negeri untuk membawa isu bayaran royalti minyak ke mahkamah, Awang Adek berkata kerajaan negeri berhak berbuat demikian di bawah sistem perundangan negara.
"Cadangan itu bukan luar biasa dan tidak mengejutkkan kerana sesiapa sahaja berhak berbuat demikian di bawah sistem perundangan negara," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Mustapa Mohamed berharap kerajaan negeri tidak terus mempolitikkan isu pemberian wang ihsan.
"Kita mahu kerajaan negeri tahu sebelum keputusan ini dibuat, kerajaan Pusat telah membuat penelitian terlebih dahulu. Kita (kerajaan) telah mendapat penerangan daripada Peguam Negara sebelum keputusan ini diumumkan," katanya.
Bercakap kepada pemberita selepas majlis bersama penyokong pasukan bola sepak Kelantan di Ayer Lanas, Jeli, Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata beliau yakin rakyat Kelantan faham isu tersebut.
Katanya kerajaan pusat akan memberikan penerangan yang jelas kepada rakyat negeri ini berhubung wang ihsan supaya isu itu tidak disalahertikan.
-- BERNAMA
|
|
|