| Pekan Rantau Panjang Lumpuh Ditenggelami Banjir |
|
RANTAU PANJANG, 7 Nov (Bernama) -- Kawasan pekan Rantau Panjang terutamanya Zon Bebas Cukai 'lumpuh' setelah dinaiki air sehingga kira-kira satu meter.
Tinjauan Bernama di kawasan berkenaan mendapati hampir semua premis perniagaan ditutup kerana dimasuki air.
Seorang peniaga yang ditemui, Fauziah Abdullah, 45, berkata beliau mengemas barangan perniagaan sejak semalam kerana bimbang ditenggelami air.
"Memang selalunya beginilah setiap tahun apabila banjir. Kami tidak boleh berniaga untuk beberapa hari kerana kawasan kedai akan dimasuki air," katanya.
Di pusat pemindahan banjir Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Rantau Panjang pula sehingga pukul 1.30 petang terdapat 340 orang mangsa banjir ditempatkan manakala seramai 302 orang di Sekolah Kebangsaan Gual Tinggi setelah kawasan rumah masing-masing dinaiki air sehingga dua meter.
Bagaimanapun bagi Hasan Dollah, 42, beliau dan keluarganya memilih untuk tinggal di dalam van berbanding pusat pemindahan kerana dianggap lebih selesa.
"Di pusat perpindahan kurang selesa kerana ramai orang, van lebih baik kerana hanya ada keluarga kita sahaja," katanya yang tinggal di dalam van bersama isteri dan empat orang anaknya.
Hassan berkata kawasan rumahnya kini dinaiki air lebih dua meter sehingga air memasuki ruang tamu sehingga paras betis.
-- BERNAMA
|
|
|