Bernama.com
Am 07 November, 2009 15:17 PM
 
Pendidikan Kaum Cina Lebih Penting Daripada Politik Kata Ong


KUALA LUMPUR, 7 Nov (Bernama) -- Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat mengenepikan soal politik semasa beliau merasmikan pembukaan bangunan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Kepong 3 di sini pada Sabtu.

Walaupun diserbu pemberita yang mahukan komen beliau mengenai situasi parti itu, Ong tetap tidak berganjak daripada pendiriannya itu.

"Sesetengah daripada anda (pemberita) di sini mungkin berminat untuk bertanyakan soalan berkaitan MCA, tetapi bagi saya kita mesti berlaku adil kepada sekolah ini, kita berada di sini untuk bercakap mengenai pendidikan," katanya.

"Bagi saya, ini lebih utama, pendidikan untuk masyarakat, pendidikan yang kita perlu dapatkan komitmen daripada masyarakat pastinya lebih bermakna daripada pertikaian politik yang tiada berkesudahan," katanya.

Semalam, sekumpulan 16 anggota jawatankuasa pusat MCA mengeluarkan notis mereka sendiri bagi memanggil mesyuarat agung luar biasa pada 28 Nov untuk memutuskan sama ada pemilihan parti yang baru perlu diadakan.

Mengenai pendidikan, Ong berkata sistem sekolah Cina dan Tamil sedia ada tidak harus dianggap sebagai satu liabiliti kerana bahasa ibunda adalah penting untuk kaum masing-masing.

"Kami percaya dengan perpaduan dalam kepelbagaian dan di bawah gagasan 1Malaysia, wujud ruang bagi kepelbagaian dan ini patut dilihat sebagai satu aset, bukan liabiliti kepada negara," katanya.

-- BERNAMA
Copyright © 2009 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels