Bernama.com
Am 07 November, 2009 15:15 PM
 
Tabung Haji Sediakan Makanan Kepada Jemaah Haji


Oleh Ahmad Kamil Tahir

MEKAH, 7 Nov (Bernama) - Tabung Haji menyediakan makanan kepada 26,000 jemaah haji Malaysia sepanjang musim haji tahun ini dalam usaha menentukan mereka mendapat makanan yang bersih dan berkhasiat sepanjang tempoh berada di tanah suci.

Jurucakap Tabung Haji berkata untuk tujuan itu pihaknya menyediakan hampir 190,000 kg bahan mentah seperti ikan, daging, ayam, sayur-sayuran, buah-buahan dan sebagainya di mana proses penyediaan makanan dikendalikan oleh dua anak syarikat Tabung Haji iaitu TH Global Services Sdn Bhd dan Tabung Haji Travel.

Menurut jurucakap itu lagi makanan yang disediakan ialah bagi makan tengahari dan makan malam dan ianya diedarkan secara terus kepada semua jemaah haji di tempat penginapan masing-masing.

Tinjauan petugas media Tabung Haji di salah sebuah dapur di Burj Abbas yang dikendalikan oleh TH Global mendapati proses penyediaan makanan dikawal ketat dari segi mutu penyediaan serta pembungkusan dan setiap bungkusan makanan ditentukan sampai kepada jemaah haji dalam tempoh tidak lebih dua jam daripada masa ianya disediakan.

Ketua Pegawai Operasi TH Global Datuk Yasmin Mohd Yazid berkata proses memasak makanan dilakukan oleh tiga tukang masak dengan diawasi seorang ketua tukang masak di mana mereka dipilih dari kalangan tukang masak dari hotel bertaraf lima bintang di tanah air.

"Proses penyediaan bahan mentah mengambil masa dua jam, manakala masing-masing dua jam lagi bagi proses memasak dan pembungkusan sebelum ianya diedarkan ke 10 tempatan penginapan jemaah haji atau Maktab Tabung Haji di Mekah," katanya.

Dari segi kualiti makanan pula Yasmin berkata ianya dipantau dari masa ke semasa oleh pihak Tabung Haji manakala penggunaan bahan mentah juga adalah mengikut spesifikasi yang ditentukan pihak Tabung Haji.

Beliau berkata makanan yang telah siap dibungkus menggunakan bekas 'aluminium foil' yang boleh mengekalkan tahap kepanasan makanan sehingga dua jam dan setiap hidangan ditentukan mempunyai khasiat yang cukup dari segi karbohidrat, protin, vitamin dan serat.

Sementara itu, ketua tukang masak Basir Hamid, 38, berkata cabaran utama dalam penyediaan makanan bagi jemaah haji ialah bagi memenuhi citarasa setiap jemaah haji kerana mereka berasal dari negeri dan latarbelakang yang berbeza.

"Sebagai contoh jemaah haji dari negeri Utara Semenanjung suka lauk kari, jemaah haji dari negeri Selatan Semenanjung pula suka lauk asam pedas manakala jemaah haji dari Pantai Timur suka kepada lauk yang agak manis.

"Justeri kami mengambil jalan tengah dengan menyediakan menu yang berbeza setiap hari dan pertukaran menu dilakukan setiap dua minggu sekali," katanya.

Mengenai bahan mentah serta rempah ratus pula, beliau berkata ianya tidak menjadi masalah kerana kebanyakannya boleh didapati di Arab Saudi.

-- BERNAMA
Copyright © 2009 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels