Bernama.com
Am 07 November, 2009 14:34 PM
 
Rosmah Mahu Pandu Puteri Lebih Berdisiplin Dan Sahut Gagasan 1Malaysia


KUALA LUMPUR, 7 Nov (Bernama) -- Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor mahu ahli-ahli Pandu Puteri supaya lebih berdisiplin agar dapat memenuhi konsep gagasan 1Malaysia.

Beliau berkata kaedah sistem berdisiplin merupakan terjemahan daripada satu falsafah kehidupan yang sangat menarik, sekaligus membentuk para remaja khususnya ahli Pandu Puteri sendiri untuk berdikari dan berjaya dalam kehidupan kelak.

"Kita sering melihat bahawa badan-badan sukarela seperti Pengakap, Bulan Sabit dan juga Pandu Puteri mempunyai sistem tersendiri yang mempunyai matlamat untuk memajukan dan memanfaatkan seseorang individu. Dalam mengaplikasikan sistem ini, saya lihat perkara asas yang ditekankan adalah disiplin.

"Maka segala usaha dan bukti untuk merealisasikan konsep 1Malaysia perlu dipikul bersama-sama agar Persatuan Pandu Puteri Malaysia dapat ditonjolkan sebagai satu persatuan yang boleh membina disiplin diri anak-anak gadis remaja," katanya ketika berucap di majlis sempena meraikan beliau sebagai Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia yang baru di sini pada Sabtu.

Beliau percaya sistem disiplin merupakan satu aspek yang gagal difahami oleh para remaja dan ahli pandu puteri sendiri sebagai sendi penting malah merupakan tulang belakang bagi mengajar dan mendidik untuk memupuk suatu kemajuan.

Dalam pada itu, beliau juga berbangga dengan penglibatan dan kehadiran ahli-ahli Pandu Puteri Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum sekaligus mencerminkan persatuan itu benar-benar mengamalkan konsep 1Malaysia.

"Saya yakin Perdana Menteri juga akan bersama-sama saya untuk berasa bangga dengan semangat muhibah ini yang mana persatuan kaum wanita tertua di negara ini turut menyahut konsep gagasan 1Malaysia."

"Sama-samalah kita buktikan bahawa konsep 1Malaysia memang sudah lama wujud dan menjadi teras dalam prinsip keahlian Persatuan Pandu Puteri Malaysia. Saya berharap semangat sebegini akan berterusan dan bukanlah merupakan satu gimik sahaja," katanya.

Pada majlis itu juga, Rosmah turut melancarkan logo 1Malaysia Persatuan Pandu Puteri Malaysia.

-- BERNAMA
Copyright © 2009 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels