| Media Sarawak Harus Main Peranan Penting Promosi SCORE |
|
KUCHING, 7 Nov (Bernama) -- Kerajaan Sarawak perlukan penyertaan penuh pihak media dalam menyebarkan maklumat tepat kepada semua pihak, terutama mempromosikan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).
Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Dr George Chan berkata Sarawak memerlukan SCORE untuk menempuh abad berikutnya sebagai sebuah negeri yang maju dan kukuh ekonominya setara dengan pembangunan negara jiran.
"Untuk SCORE dibangunkan dan mencapai kejayaan, pihak media perlu menyebarkan maklumat tepat kepada orang ramai dan kepada pelabur berpotensi.
"Bercakap benar. Anda mesti terbuka, telus dan mesti mempunyai keberanian untuk mendedahkan kebenaran.
"Kami tidak akan menyalahkan anda (media) kerana mendedahkan perkara yang benar walaupun ia tidak menyenangkan, kerana kami memerlukan kritikan membina untuk memperbaiki kelemahan," katanya pada majlis Anugerah Kewartawanan Kenyalang Shell 2009 di sini malam Jumaat.
Dr Chan berharap anugerah kewartawanan itu akan dapat memberi motivasi dan perangsang kepada wartawan media cetak dan penyiaran di Sarawak untuk meningkatkan kecemerlangan dalam tugasan mereka sebagai penyebar maklumat dan pengetahuan kepada masyarakat.
Wartawan dari Borneo Post, iaitu akhbar bahasa Inggeris utama di Sarawak mendominasi Anugerah Kewartawanan Kenyalang Shell, meraih lima hadiah terbaik untuk bahagian Inggeris.
Puvaneswary Devindran memenangi Anugerah Kewartawanan manakala Peter Boon membolot hadiah utama kategori Laporan Berita Kesihatan, Lee Ya Yun (Anugerah Kewartawanan Alam Sekitar), Philip Wong (Anugerah Laporan Sukan), Philip Kiew dan Mohd Abdullah Jamin (Anugerah Laporan Berita).
Bagi kategori akhbar berbahasa Melayu, wartawan Utusan Sarawak membolot empat kategori apabila Haini Darani dinamakan pemenang Anugerah Kewartawanan dan Anugerah Kewartawanan Alam Sekitar, Anthony Punan (Kesihatan dan Sukan), Sarena Haidir (Anugerah Laporan Berita).
Bagi kategori akhbar berbahasa Mandarin, Sin Chew Daily menduduki tangga teratas memenangi tiga kategori -- Ho Lee Ping, Tan Mai Mai dan Bong Tze Tze (Laporan Berita), Bong Siak Boon (Sukan) dan Ho Lee Ping (Kesihatan) manakala wartawan Liza Bong Ai Lee dari akhbar Sze Hua Daily News memenangi Anugerah Kewartawanan dan Choo Chiew Lin dari International dinobatkan sebagai pemenang untuk Anugerah Kewartawanan Alam Sekitar.
Siti Asmah Basri dari Bernama TV dinobatkan pemenang Anugerah Laporan Berita Kesihatan dan membolot hadiah utama untuk Anugerah Kewartawanan Alam Sekitar untuk bahagian penyiaran manakala Radio Television Malaysia (RTM) membawa pulang dua anugerah - bagi Alam Sekitar dan Penyiaran.
Lee Dee Sing of Sze Hua Daily News dinobatkan pemenang bagi Anugerah Jurugambar bersama Ling Teh Tiong dari United Daily News sebagai pemenang utama dan Mohd Amir Hafiz Abd Rahman dari Utusan Malaysia dinamakan pemenang kedua.
-- BERNAMA
|
|
|