| Kapal APMM Tingkatkan Rondaan Sepanjang Musim Tengkujuh |
|
KUALA TERENGGANU, 7 Nov (Bernama) -- Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) meningkatkan rondaan di sekitar perairan negeri sepanjang musim tengkujuh yang melanda negeri itu, kata Ketua Penguatkuasa APMM Daerah Kuala Terengganu, Komander Maritim Syed Mohd Fuzi Syed Hasan.
Beliau berkata dua bot digunakan untuk tujuan berkenaan, iaitu sebuah bot peronda dan sebuah bot laju.
"Bot tersebut bertujuan untuk memantau dan membantu terutamanya nelayan sekiranya sesuatu kejadian tidak diingini berlaku di laut. Selain itu, ia juga bertujuan memantau bot-bot nelayan asing yang cuba mencerobohi perairan negara di musim tengkujuh," katanya kepada Bernama di sini, pada Sabtu.
Beliau berkata berdasarkan pengalaman, nelayan asing sering mengambil kesempatan menangkap ikan di perairan negara ini setiap kali musim tengkujuh berikutan hasil yang banyak.
Pihaknya juga tidak menghalang nelayan untuk keluar ke laut, terutamanya bot-bot besar untuk menangkap ikan namun menasihati mereka lebih berhati-hati berikutan keadaan laut yang tidak menentu sepanjang musim tengkujuh.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Kuala Terengganu Selatan, Hamzah Jusoh turut mengingatkan nelayan supaya lebih berhati-hati ketika keluar menangkap ikan memandangkan keadaan laut bergelora dan berbahaya.
Beliau berkata nelayan disaran mendengar nasihat Jabatan Perikanan dan Jabatan Kaji Cuaca bagi mengelak sesuatu kejadian tidak diingini.
Hamzah juga menasihati nelayan membawa bekalan makanan mencukupi untuk selama tempoh keluar supaya tidak menimbulkan masalah sekiranya mereka terkandas di laut.
-- BERNAMA
|
|
|