Bernama.com
Am 07 November, 2009 13:39 PM
 
Rujuk JTK Sebelum Bekerja Di Luar Negara - Maznah


KUCHING, 7 Nov (Bernama) -- Pekerja tempatan dan penganggur yang ingin mencuba nasib bekerja di luar negara bagi mendapat tawaran gaji lebih lumayan perlu merujuk pejabat Jabatan Tenaga Kerja (JTK) berhampiran bagi mengelak daripada menjadi mangsa penipuan Agensi Pekerjaan Swasta (APS) yang tidak sah.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Maznah Mazlan berkata, berdasarkan aduan yang diterima, pekerja dari negeri ini yang bekerja di Singapura sering menjadi mangsa penipuan APS dengan 803 aduan diterima sepanjang Januari hingga September tahun ini.

"Aduan melibatkan pelbagai kesalahan antaranya kerja sebenar serta gaji lain daripada seperti yang ditawarkan atau diiklankan dan kebajikan diabaikan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program penempatan pekerjaan Bahagian Kuching dan Program Pembangunan Kemahiran Masyarakat Bumiputera Sarawak di sini pada Sabtu.

Maznah berkata, setakat ini JTK telah mengambil tindakan undang-undang ke atas empat buah APS di Sarawak atas kesalahan beroperasi secara haram dan mengambil pekerja tempatan untuk bekerja di luar negara tanpa lesen.

Katanya sebuah agensi diambil tindakan di bawah Seksyen 7(1) Akta Agensi Pekerjaan Swasta 1981 iaitu beroperasi tanpa lesen dan tiga APS dikenakan tindakan di bawah Seksyen 16(1) akta yang sama iaitu mengambil pekerja tempatan untuk bekerja di luar negara tanpa lesen.

"Bagi kesalahan beroperasi tanpa lesen tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 32 (1) akta yang sama dengan denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-dua sekali," katanya.

Maznah berkata bagi kesalahan mengambil pekerja tempatan bekerja di luar negara tanpa lesen, tindakan boleh diambil di bawah Sekyen 32(4) dengan denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara enam bulan atau kedua-dua sekali.

Beliau juga menasihatkan syarikat swasta yang beroperasi di Sarawak yang mengambil pekerja tempatan yang bukan berasal dari Sarawak untuk mendapatkan lesen daripada JTK berdasarkan Bab 76 Seksyen 119 Ordinan Buruh Sarawak.

"Sebanyak 47 syarikat telah diambil tindakan dan daripada jumlah tersebut 11 syarikat telah didakwa di mahkamah," katanya.

Menurutnya syarikat yang didapati gagal mematuhi peraturan itu boleh didenda tidak lebih RM10,000 atau penjara enam bulan atau kedua-dua sekali.

Mengulas mengenai program penempatan pekerjaan itu, Maznah berkata, sebanyak 4,145 kekosongan jawatan kosong ditawarkan daripada peringkat pengurusan sehinggalah sokongan di sektor swasta mahupun awam.

-- BERNAMA
Copyright © 2009 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels