Bernama.com
Am 07 November, 2009 13:30 PM
 
Kedatangan Pelancongan Denmark Dijangka Meningkat


Daripada Voon Miaw Ping

COPENHAGEN, 7 Nov (Bernama) -- Pertambahan ketara bilangan pelancong Denmark ke Malaysia tahun ini menyemarakkan semangat Tourism Malaysia untuk terus memperkukuhkan strategi bagi menggalakkan kedatangan mereka terutama semasa cuti musim sejuk.

Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen berkata seramai 20,161 pelancong Denmark melawat Malaysia sehingga September lepas, satu peningkatan stabil daripada 12,773 pada 2006; 19,773 (2007) dan 23,817 tahun lepas.

Ng yakin perkembangan positif ini akan berterusan meskipun keadaan ekonomi global masih tidak menentu dan wujud saingan hebat dari negara seperti Thailand dan Sepanyol, negara yang menjadi tumpuan pelancong Denmark untuk bercuti semasa musim sejuk.

"Ini merupakan satu pasaran utama Eropah yang kami perlu beri perhatian serius. Kita mempunyai pakej betul yang dikehendaki pelancong Denmark untuk bercuti, matahari, keindahan alam semula jadi dan identiti tersendiri kebudayaan unik kita," katanya selepas jamuan malam dan persembahan "Malaysia Truly Asia" yang disertai kira-kira 30 penggiat utama pelancongan Denmark pada Jumaat malam.

"Musim sejuk kali ini merupakan waktu istimewa yang baik untuk menarik pelancong Denmark yang akan bercuti ke Malaysia dan menggalakkan mereka untuk menyertai program inap desa serta program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H).

Merumuskan misi pelancongan selama seminggu di tiga negara Scandinavia, Ng berkata MM2H merupakan satu pakej produk yang berbaloi bagi para pelancong yang datang dari jauh.

Program inap desa akan dipromosikan sebagai satu program pelancongan yang sihat, berorientasikan keluarga dan pendidikan yang dapat memperkayakan pengetahuan semua kumpulan pelancong Denmark termasuk kanak-kanak.

Pada majlis itu, Ng turut mengambil kesempatan mengajar tetamu Denmark tarian "Cuti-cuti 1Malaysia" yang menggabungkan beberapa tarian tradisional rakyat etnik negara.

Ng juga menerima maklum balas daripada pengusaha pelancongan dan pengalaman pelancong Denmark semasa melawat Malaysia.

"Mereka memberitahu saya bahawa mereka suka datang ke Malaysia, tetapi beberapa pengalaman seperti pemandu teksi yang cekik darah merosakkan percutian mereka," katanya.

Seorang pengunjung yang kerap ke Malaysia, Allan Hoffery berkata Malaysia mempunyai semua "ramuan" untuk menjadi destinasi pelancongan utama bagi rakyat Denmark kecuali pemandu-pemandu teksi.

"Mereka sering enggan menggunakan meter. Ada sekali, seorang pemandu teksi mahu mengenakan tambang sebanyak RM20 ke Ritz Carlton Hotel (yang terletak di Jalan Imbi) dari Chinatown (Jalan Petaling) dan saya mengatakan tidak, lalu dia (pemandu teksi) menyuruh saya berjalan kaki.

"Saya rasa ini suatu yang menyedihkan. Kerajaan anda berusaha keras dan melabur dengan banyak untuk menggalakkan industri pelancongan tetapi usaha ini dicemari dengan tindakan-tindakan yang tidak beretika," kata Hoffery, yang merupakan Pengurus Jualan Singapore Airlines bagi Denmark.

-- BERNAMA
Copyright © 2009 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels