Bernama.com
Am 07 November, 2009 11:41 AM
 
Siswazah Perubatan Malaysia Catat Beberapa Pencapaian Pertama


MELBOURNE, 7 Nov (Bernama) -- Kumpulan pertama 47 doktor Malaysia lulusan program perubatan Monash University, Australia yang dikendalikan di Malaysia akan menamatkan pengajian bulan ini.

Mereka merupakan siswazah perubatan antarabangsa yang diiktiraf sepenuhnya oleh Majlis Perubatan Australia, demikian menurut Monash Magazine keluaran universiti itu.

Mereka merupakan kumpulan siszawah pertama yang membahagikan masa pengajian di kampus serta hospital di Malaysia dan Australia, memperoleh pengalaman dunia perubatan di kedua-dua negara.

Kumpulan itu juga merupakan kumpulan pertama penuntut perubatan Monash yang melakukan pengkhususan pengajian Malaysia dalam bidang seperti ubat-ubatan tropika dan akan bertugas di klinik di Kuala Lumpur, Segamat, Pontian dan Kulai.

Mereka juga merupakan kumpulan pertama yang menjalani latihan di Sekolah Klinikal yang dibina khas bernilai RM1.8 juta dan Hospital Sultanah Aminah Hospital di Johor Bahru.

Prof Datuk Dr Anuar Zaini Md Zain, Ketua Pengajian Perubatan dan Sains Kesihatan telah melihat sendiri kumpulan pertama doktor muda berkenaan belajar dan matang untuk menjadi pakar perubatan mahir.

"Saya berpendapat kerana pengiktirafan oleh Majlis Perubatan Australia, standard pengajian ini jelas mencapai tahap yang amat tinggi," menurut laporan Monash Magazine yang memetik Dr Anuar Zaini sebagai berkata.

Shakirah Sharif, dari Kuala Lumpur, menamatkan latihan klinikal pengajian tahun akhir di Alfred Hospital, Melbourne.

"Saya mempunyai satu keinginan untuk mencapai sesuatu lain daripada yang lain. Oleh itu, apabila saya berada dalam kumpulan pertama penuntut yang akan menamatkan pengajian ini saya rasa adalah suatu tidak asing bagi saya," katanya kepada Monash Magazine.

"Saya rasa ada peluang untuk saya membantu menambah baik sistem perubatan di Malaysia," kata Shakira, seorang bekas pelajar Sekolah Menengah Perempuan Bukit Bintang.

-- BERNAMA
Copyright © 2009 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels