Bernama.com
Am 07 November, 2009 00:03 AM
 
Paradigma Baru Perlu Dilakukan Sekolah Sukan Malaysia, Kata Rosmah


KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) -- Satu paradigma baru atau lonjakan berganda seharusnya dilakukan kepada sekolah sukan dan di Malaysia supaya ia tidak terus dianggap sekolah kelas kedua berbanding sekolah akademik, kata isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Beliau berkata Kementerian Pelajaran diharap dapat melihat perspektif lebih luas dan terbuka supaya sekolah sukan khususnya Sekolah Sukan Bukit Jalil berada dalam landasan lebih ampuh dan betul.

"Pada hemat saya kita perlu membuat pendekatan lebih tersusun dengan korikulum yang cenderung memenuhi objektif sesebuah sekolah sukan.

"Sememangnya sekolah sukan perlu dinilai, ditangani dalam perspektif yang tersendiri untuk menjulang prestasinya," katanya ketika berucap pada majlis jamuan "Young Olympian Night" dan Anugerah Gemilang Sekolah Sukan Bukit Jalil 2009 anjuran Persatuan Ibubapa dan Guru Sekolah Sukan Bukit Jalil di sini, malam Jumaat.

Demi masa depan sukan yang lebih cerah, beliau berkata semua pihak perlu melihat semula bidang sukan agar pembangunan bidang itu dapat dilaksanakan secara holistik dan tuntas.



Katanya dalam konteks Malaysia, berasaskan gagasan 1Malaysia yang bertunjangkan kekuatan pelbagai bangsa dan budaya, sukan boleh menjadi pentas dan wadah di mana perpaduan kaum dan semangat cintakan negara dapat dipupuk.

"Bagi para atlet, mereka dapat bersatu padu tanpa mengira agama dan budaya serta berkerjasama untuk mencapai kemenangan bagi pasukan masing-masing," kata Rosmah.

Pada majlis itu, Rosmah selaku penaung majlis makan malam "Young Olympian Night" turut menyampaikan anugerah akademik dan anugerah khas sukan kepada 30 pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek dan Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong.

-- BERNAMA
Copyright © 2009 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels