| Lelaki Hilang Dikhuatiri Lemas Di Kelantan |
|
PASIR PUTEH, 6 Nov (Bernama) -- Seorang lelaki dikhuatiri lemas apabila dilapor hilang ketika mandi di Sungai Banggol Kerian di sini, hari Jumaat.
Mohd Mazlan Yajid, 28, dikatakan terjun ke sungai itu untuk mandi pada kira-kira pukul 6.30 petang.
Adiknya, Mohd Anuar, 21, berkata abangnya yang terjun ke dalam sungai melalui jambatan yang merintangi sungai itu tiba-tiba hilang dibawa arus deras.
"Kejadian itu dilihat oleh beberapa orang penduduk kampung yang tinggal kira-kira 500 meter dari sungai," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.
Pegawai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh Kaharuddin Yahya berkata operasi mencari dan menyelamat dilancarkan sebaik menerima laporan mengenai kejadian itu.
Gerakan mencari dan menyelamat terpaksa dihentikan pada pukul 9 malam kerana cuaca gelap dan keadaan arus yang deras dan akan disambung semula pagi esok, katanya.
-- BERNAMA
|
|
|