Bernama.com
Am 06 November, 2009 22:06 PM
 
Lapan Akan Lancar Satelit ORARI


Oleh Mohd Nasir Yusoff

JAKARTA, 6 Nov (Bernama) -- Lembaga Penerbangan dan Angkasalepas Nasional (LAPAN) Indonesia bekerja sama dengan Organisasi Radio Amatur Republik Indonesia (ORARI) akan melancarkan satelit pada 2010.

Rancangan pelancaran satelit itu diumumkan oleh Ketua Umum ORARI Pusat, Sutiyoso pada pelantikan pengurus ORARI Kalimantan Selatan di Banjarmasin, Jumaat, tetapi tidak pula menyatakan bentuk atau saiz satelit itu atau jarak orbitnya dari bumi.

Sutiyoso, yang juga bekas gabenor Jakarta berkata ORARI mempunyai peranan besar dalam menjaga keutuhan negara ini melalui jaringan komunikasi yang cukup luas dan kuat.

Untuk meningkatkan peranan itu, katanya, ORARI bekerja sama dengan LAPAN melancarkan satelit untuk memperluas jaringan komunikasi sehingga ke daerah-daerah terpencil.

"Perhubungan tidak dapat menentukan kemenangan dalam pertempuran tetapi pertempuran tanpa perhubungan sulit untuk dimenangi, sehingga peranan ORARI dalam menjalin hubungan di darat, laut dan udara sangat besar," katanya dipetik agensi berita Antara di Banjarmasin.

Sutiyoso berkata bahkan selama ini ORARI selalu menjadi alat komunikasi alternatif dalam setiap peristiwa bencana besar di Indonesia.

Beliau memberi contoh ketika bencana alam tsunami di Aceh, ORARI merupakan satu-satunya saluran komunikasi yang tetap boleh digunakan untuk menyampaikan khabar kejadian itu kerana pada waktu itu seluruh alat komunikasi lain lumpuh beberapa hari.

Katanya, begitu juga ketika bencana gempa bumi di Sumatera Barat di mana sekali lagi ORARI menjadi satu-satunya alat komunikasi alternatif bagi menyebarkan maklumat mengenai keadaan semasa di wilayah itu.

Menurutnya, ORARI merupakan organisasi yang cukup besar dan padu lantaran hampir seluruh kegiatannya tidak pernah dibiayai oleh pemerintah.

Pada majlis itu, Sutiyoso melantik Gabenor Kalimantan Selatan Rudy Ariffin sebagai Ketua ORARI wilayah itu.

-- BERNAMA
Copyright © 2009 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels