| Yang Dipertua Dewan Negara Ketuai Delegasi Ke Czech, Belgium |
|
KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) -- Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Wong Foon Meng mengetuai delegasi ke Republik Czech dan Belgium untuk lawatan rasmi selama tujuh hari bermula hari Jumaat.
Setiausaha Sulitnya Soon Boon Seng berkata sewaktu lawatan itu, delegasi itu akan mengadakan kunjungan hormat terhadap Perdana Menteri Republik Czech Jan Fischer.
Mereka juga akan mengunjungi Presiden Senat Belgium dan juga Parlimen Eropah di Brussel untuk bertemu Presiden Parlimen Eropah dan beberapa jawatankuasa yang lain.
Delegasi senator itu juga dijangka bertemu dengan pelajar-pelajar Malaysia di Republik Czech.
Ketika ini seramai 278 pelajar Malaysia sedang belajar di tiga universiti di Republik Czech.
-- BERNAMA
|
|
|