| Mesyuarat Obama-Najib Di Singapura Minggu Depan Pertingkat Hubungan Washington-KL |
|
KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) -- Hubungan bilateral antara Amerika Syarikat dengan Malaysia akan dipertingkatkan bila Presiden Barrack Obama mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Singapura minggu depan.
Penasihat Khas Jabatan Negara AS bagi Non-proliferasi dan Kawalan Senjata, Robert J.Einhorn berkata: "Kita tidak selalunya mempunyai hubungan terbaik.
"Tetapi dengan pentadbiran baru di sini, KL dan di Washington, saya rasa terdapat prospek perhubungan itu akan diperkukuh".
"Mereka (Najib dan Obama) mengadakan perbincangan yang cukup baik menerusi telefoh Jun lepas, dan beberapa lawatan ke KL telah diadakan," katanya kepada Bernama dalam satu interbiu.
Einhorn berkata, terbaru, Timbalan Setiausaha Negara AS James B. Steinberg melawat sini dan trend ini akan berterusan.
"Demikian juga prospek untuk hubungan bilateral lebih kukuh," katanya.
Einhorn mengetuai delegasi pelbagai agensi selama dua hari ke Malaysia bermula 3 Nov kerana berbincang dengan pegawai-pegawai kanan Malaysia mengenai program membanteras perluasan dan perlucutan senjata.
Singapura akan menjadi hos bagi Mesyuarat Pemimpin-pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik ke-17 pada 14 dan 15 Nov.
-- BERNAMA
|
|
|