Bernama.com
Am 06 November, 2009 20:50 PM
 
Dua Rumah Di Hulu Besut Dihanyut Arus Deras


BESUT, 6 Nov (Bernama) -- Dua rumah yang didiami 11 orang di Kampung La, Hulu Besut dihanyutkan arus deras akibat limpahan Sungai Besut hari Jumaat.

Kejadian pada kira-kira pukul 4 petang itu berlaku hanya beberapa jam selepas dua keluarga yang menghuni rumah terbabit dipindahkan ke pusat pemindahan banjir.

Pemilik rumah terbabit, Aziz Abas, 50-an dan Che Min Daud, 40-an, yang mencari nafkah dengan menoreh getah hanya mampu melihat dari jauh rumah papan mereka dihanyutkan arus deras.

Aziz ketika ditemui Bernama berkata walaupun sedih, beliau bersyukur keluarganya sempat berpindah di pusat pemindahan banjir sebelum rumah mereka dihanyutkan.

Aziz bersama isteri dan empat anaknya ditempatkan di pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Payung.

Menteri Besar Datuk Ahmad Said yang terpaksa menaiki lori untuk melawat mangsa banjir di Besut, berjanji akan memberi bantuan segera kepada dua keluarga terbabit.

Ahmad dalam sidang akhbarnya selepas menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir, berkata rumah kedua-dua mereka akan diganti dengan rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dalam kadar segera.

Besut merupakan daerah paling teruk dilanda banjir di Terengganu. Tiga lagi daerah yang terjejas dalam banjir musim tengkujuh ini ialah Hulu Terengganu, Setiu dan Dungun dan sehingga kini lebih 1,400 orang dipindahkan.

Ahmad berkata pihak berkuasa juga akan menghantar bot bagi menyelamatkan 10 keluarga di Kampung Pasir Akar, di sini, yang terputus hubungan sejak pagi ini.

"Kita harap orang ramai, terutama yang tinggal di kawasan rendah lebih berhati-hati memandangkan keadaan banjir dijangka bertambah buruk.

"Penduduk juga diingatkan tidak menunggu arahan untuk berpindah, jika lihat keadaan perlu untuk mereka berpindah, kita harap mereka berpindah segera...dari segi kelengkapan, kita telah menyediakan keperluan yang mencukupi," katanya.

Beliau juga mahu Jabatan Kerja Raya (JKR) Terengganu mengkaji kemungkinan menaikkan aras jalan Jerteh-Hulu Besut yang sering ditenggelami air setiap kali banjir menyebabkan penduduk di sekitarnya terputus hubungan.

-- BERNAMA
Copyright © 2009 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels