Bernama.com
Am 06 November, 2009 20:13 PM
 
Bengkel Teknik Pidato Perlu Dilaksana Di Sekolah - Rosmah


PUTRAJAYA, 6 Nov (Bernama) -- Bengkel khas teknik berpidato atau kelas pemidato harapan perlu dilaksanakan segera di sekolah-sekolah rendah di seluruh negara untuk melahirkan kanak-kanak yang hebat dan mahir berpidato, kata isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Beliau berkata usaha itu perlu dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Pelajaran, Yayasan Harapan Kanak-Kanak Malaysia (YHKM) serta para penaja korporat agar bakat kanak-kanak itu dapat diketengahkan.

"Sinergi antara kesemuanya dengan koordinasi yang bernas akan berupaya melahirkan lebih ramai kanak-kanak yang bukan sahaja hebat berpidato tetapi turut berketrampilan diri daripada segi kepimpinan dan keyakinan diri," katanya semasa berucap merasmikan Pertandingan Pidato Kanak-Kanak Malaysia Piala Datuk Seri Najib Tun Razak di sini Jumaat.

Menurut Rosmah pertandingan itu dilihat sebagai satu daripada usaha untuk melahirkan tokoh-tokoh pemidato dan pemimpin masa depan negara selaras dengan wawasan YHKM bagi melahirkan pemimpin yang berani berkata-kata dan mampu mengotakan kata-kata kepada golongan yang dipimpinnya.

"Saya juga menyeru kepada para peserta supaya ambillah karisma, kredibiliti, kepimpinan dan ketenangan peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai panduan dan teladan bagi membentuk diri anda sebagai pemimpin masyarakat berwibawa," katanya.

Pada pertandingan itu Nurul Anis Amra dari Sekolah Kebangsaan Bayan Lepas, Pulau Pinang menjuarai kategori pidato Bahasa Melayu, manakala kategori Bahasa Inggeris dimenangi oleh Saeshan Pillay dari Sekolah Kebangsaan Taman Megah, Petaling Jaya.

Mereka menerima satu set komputer setiap seorang, wang tunai RM1,000, trofi dan sijil penyertaan.



-- BERNAMA
Copyright © 2009 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels