Bernama.com
Am 06 November, 2009 20:12 PM
 
Seminar Perancangan Bandar Sedunia Pada Isnin


KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) -- Seminar berkaitan perancangan bandar akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini pada Isnin sempena sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia (HPBS) 2009.

Seminar itu, yang bakal disertai Jururancang Bandar mewakili kerajaan persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan serta swasta, akan dirasmikan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Kong Cho Ha.

Menurut kenyataan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan hari ini seminar itu, yang bertema "Pembangunan Mampan-Rakyat Didahulukan", akan dilancarkan serentak dengan Hari Habitat Sedunia 2009.

Ia memberi fokus kepada sumbangan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa terhadap pembangunan mampan yang memberi keutamaan terhadap "People Centric Planning" serta penglibatan awam dalam aspek Perancangan Bandar dan Desa.

Tema ini dipilih bertepatan dengan konsep 1Malaysia dan semangat 1Malaysia : Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan di mana setiap rakyat Malaysia yang berkelayakan memerlukan pertolongan akan dibantu dan tiada sesiapapun dicicirkan.

Menurut kenyataan itu HPBS, yang disambut sejak 56 tahun lepas, kini diraikan oleh hampir 30 negara di seluruh dunia termasuk Malaysia bagi mengingati betapa pentingnya Perkhidmatan Perancangan Bandar dan Desa di dalam membina persekitaran dan kualiti hidup yang sempurna dan selesa.

-- BERNAMA
Copyright © 2009 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels