Bernama.com
Am 06 November, 2009 20:06 PM
 
PGSM Kesal Dr Asri Mungkir Janji, Dedah Pertemuan Kepada Media


KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) -- Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) kesal dengan tindakan bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainal Abidin yang memungkiri janji dengan memberi kenyataan kepada media berhubung pertemuan mereka di Hotel Palace of Golden Horses di Seri Kembangan dekat sini, Khamis.

Presiden PGSM Mohamad Isa Abd Ralib berkata tindakan Dr Asri itu juga jelas tidak menghormati Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mej-Jen (B) Datuk Jamil Khir Baharom sebagai mediator pertemuan itu.

"Kami kesal bagaimana perbincangan yang dibuat secara tertutup itu boleh didedahkan kepada media termasuk penyiaran gambar dari sumber-sumber yang tidak bertanggungjawab.

"Kami juga dengan ini mempertahankan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong yang ditandatangani secara bersama dengan NGO (pertubuhan bukan kerajaan) Islam berhubung bantahan ura-ura pelantikan Dr Asri sebagai Yang Dipertua YADIM," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Sidang media itu turut dihadiri 10 wakil NGO Islam termasuk Presiden Institut Pengajian Tradisional Islam Ismail Muna, Setiausaha Agung Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat) A.Karim Omar dan Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) Faisal Abd Aziz.

Mohamad Isa berkata PGSM hanya menarik balik penyiaran memorandum berkenaan dari laman web rasmi persatuan dan perkara ini telah dilakukan sebelum Dr Asri mendedahkannya kepada media.

"Kami difahamkan bahawa beliau sendiri yang membuat salinan memorandum berkenaan dan menyiarkannya di dalam blog peribadi beliau dan mengedarkannya kepada pihak media dan pihak lain," katanya.

Menurutnya PGSM terus mendapat sokongan lebih besar daripada kumpulan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam, tokoh agama, cendekiawan Islam, kumpulan pelajar Islam dan pendakwah berhubung isu ini.

Isu saman antara Dr Mohd Asri dan PGSM dianggap selesai setelah kedua-dua pihak itu bermusyawarah semalam bagi mencapai kata sepakat berhubung isu berkenaan.

Pertemuan itu diadakan bagi mencari jalan penyelesaian kepada isu saman Dr Asri terhadap PGSM kerana mendakwa persatuan itu dikatakan membuat serangan peribadi terhadapnya dalam satu memorandum bertarikh 12 Okt lepas kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.



Sementara itu, Presiden Persatuan Jamaah Islah Malaysia (JIM) Zaid Kamaruddin yang turut hadir pada sidang media itu mengusulkan satu wacana ilmu tertutup diadakan bagi menyelesaikan isu ini secara lebih berhemah.

"Seharusnya perbezaan pandangan sebenarnya harus diselesaikan menerusi debat keilmuan yang perlu rujukan kepada kitab-kitab.

"Jadi kita cadangkan majlis yang melibatkan penghujahan dan debat keilmuan ini dimudahcara oleh tokoh agama yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak," katanya.

-- BERNAMA
Copyright © 2009 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels