| Para Menteri Bertanggungjawab Pantau Sendiri Projek |
|
PUTRAJAYA, 6 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Jumaat memberikan tugas kepada para Menteri Kabinet untuk bertanggungjawab dan memantau sendiri sekurang-kurangnya satu projek, strategi dan langkah-langkah yang diumumkan dalam Bajet 2010 dilaksanakan mengikut jadual.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Najib memberikan tangungjawab berkenaan semasa mesyuarat dengan para menteri Kabinet, Ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan serta pihak berkepentingan mengenai Pelaksanaan Efektif Strategi dan Langkah-langkah Bajet 2010.
"Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahukan supaya projek-projek yang kita laksanakan dalam bajet 2010 mesti ditunaikan dan dilaksanakan mengikut jadual," kata Muhyiddin kepada pemberita selepas mesyuarat itu di Kementerian Kewangan di sini.
Timbalan Perdana Menteri berkata kerajaan mengenal pasti 160 projek untuk dilaksanakan, meletakkan projek berkenaan di bawah bidang kuasa dan tanggungjawab menteri-menteri berkenaan.
Projek berkenaan akan dipantau oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) di Jabatan Perdana Menteri, yang akan bertindak sebagai penyelesai masalah di lapangan.
"ICU telah diberi tanggungjawab lebih besar untuk buat pantauan keseluruhan di mana Ketua Pengarah ICU diberi kuasa untuk menyelesaikan masalah, misalnya jika projek itu lewat. Beliau kena pastikan agar menteri sekurang-kurangnya mengarahkan satu projek.
"Ini merupakan soal pelaksanaan dan berasaskan hasil pelaksanaan di mana setiap seorang daripada kita (Menteri-meneteri) diberikan satu tugas.
"Ketua-ketua Setiausaha Kementerian pula harus menjaga sekurang-kurangnya tiga atau empat projek dan ICU juga akan memantau projek-projek lewat dan kalau perlu langkah-langkah tertentu akan diambil untuk memastikan projek mengikut jadual ditetapkan," Muhyiddin menjelaskan.
Timbalan Perdana Menteri berkata ini merupakan yang pertama seorang Perdana Menteri memberi tumpuan kepada perkara seumpamanya bagi memastikan bahawa dalam tempoh tertentu, negara akan mendapat impak hasil pelaksanaan langkah Bajet 2010.
"Inilah sebab ICU buat pemantauan sekarang ini di mana ia mesti mengambil langkah menyelesaikan, mencari jalan ke atas apa-apa soal berbangkit dan tidak hanya menunggu laporan sebelum bertindak.
"Sekiranya isu tersebut berkaitan dengan tanah dan ada hubung kait dengan kerajaan negeri, Menteri dan pihak-pihak tertentu kena turun berbincang dengan Menteri Besar atau Ketua Menteri," kata beliau.
-- BERNAMA
|
|
|