Bernama.com
Am 06 November, 2009 19:45 PM
 
Wang Ihsan Mampu Bantu Sekolah Di Kelantan - Mohd Puad


PASIR MAS, 6 Nov (Bernama) -- Kementerian Pelajaran yakin pemberian wang ihsan kepada kerajaan negeri mampu membantu meningkatkan prestasi pendidikan di Kelantan termasuk menaiktaraf kemudahan sekolah di kawasan pedalaman di negeri itu.

Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Fuad Zarkashi berkata isu pemberian wang ihsan itu tidak sepatutnya dipolemikkan sebaliknya menerima pemberian itu sebagai sesuatu yang mampu membantu rakyat Kelantan.

"Dengan adanya bantuan wang ihsan, kita dapat memastikan kemudahan sekolah termasuk makmal ditingkatkan untuk kemudahan murid," katanya kepada pemberita selepas majlis Program Penerangan Dan Ramah Mesra Bersama Guru-Guru di Sekolah Kebangsaan Sultan Ibrahim 4, di sini, hari Jumaat.

Mohd Puad berkata wang itu juga boleh digunakan sebagai bantuan kewangan kepada pelajar miskin supaya mereka berpeluang mendapat bimbingan yang lebih berkesan.

Rabu lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa kerajaan pusat akan memberi wang ihsan kepada kerajaan Kelantan mulai tahun depan bagi hasil pengeluaran minyak di luar pesisir pantai negeri itu.



Katanya pengagihan wang ihsan itu akan disalurkan dalam bentuk projek pembangunan serta program pembasmian kemiskinan demi meningkatkan kesejahteraan hidup penduduk negeri itu.

Mohd Puad berkata pemberian wang ihsan itu tidak perlu dipersoalkan namum apa yang penting ia harus diterima dan sampai kepada rakyat negeri itu.

Dalam perkembangan lain, katanya Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) telah diarahkan membuat persiapan awal bagi menghadapi fenomena banjir terutamanya bagi murid yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).

Katanya walaupun sekolah dijadikan pusat pemindahan mangsa banjir, ia tidak harus menjejaskan pelajar yang sedang menduduki peperiksaan.

"Bagi sekolah yang terbabit dengan banjir, jika perlu kita akan beri cuti, dan bagi pelajar yang mengambil peperiksaan, mereka akan dipindahkan ke pusat peperiksaan lain jika sekolah mereka dinaiki air," katanya.

-- BERNAMA
Copyright © 2009 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels