| Keterangan Saksi Tidak Benar Dan Bercanggah, Mahkamah Diberitahu |
|
KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) -- Mahkamah Syariah Gombak Timur di sini yang mendengar perbicaraan kes khalwat pelakon Norman Hakim dan Memey diberitahu bahawa keterangan saksi pertama iaitu Pegawai Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Abdul Rahman Lai Abdullah adalah tidak benar dan bercanggah.
Pegawai Penguatkuasa Agama Daerah Gombak Barat, Kyrool Nizam Khairuddin berkata demikian selepas bersetuju dengan cadangan yang dikemukakan peguam bela Fakhrul Abu Hassan yang mewakili kedua-dua pelakon bahawa keterangan saksi itu mengenai siapa yang berada di bawah dan siapa yang naik ke premis ketika kejadian adalah bercanggah.
Kyrool Nizam menjelaskan bahawa beliau sampai di tempat kejadian pada pukul 2.15 pagi selepas dimaklumkan mengenai kejadian itu dan kemudian naik ke premis bersama Abdul Rahman.
Bagaimanapun, dalam keterangan Abdul Rahman pada 4 Julai lalu menjelaskan bahawa beliau sebagai ketua operasi telah membahagikan beberapa pegawai kepada dua kumpulan iaitu satu kumpulan naik ke premis dan beliau tinggal di bawah.
Kyrool Nizam, 28, memberi keterangan dalam perbicaraan kes khalwat aktor Norman atau nama sebenarnya Mohamed Norhakim Zaidon, 33, dengan Suhaiza Suhaimi, 21, di pejabat beralamat 4-1A, Jalan UP 1/2 Taman Ukay Perdana, Hulu Klang, pada 3 pagi, 30 Okt 2008.
Norman dibicarakan mengikut Seksyen 29(1)(a) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 manakala Memey didakwa mengikut Seksyen 29(1)(b) enakmen sama.
Ketika disoal balas Fakhrul, Kyrool Nizam bersetuju dan mengakui bahawa keterangan yang dikemukakan Abdul Rahman adalah tipu dan bercanggah.
Dalam keterangan Kyrool Nizam sebelum ini dia memberitahu bahawa kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 29(1)(a) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 dan Seksyen 29(1)(b) enakmen sama, yang menyatakan Norman dan Memey berada dalam tempat tersembunyi yang boleh menimbulkan syak berkhalwat.
Bagaimanapun, dalam rujukan yang diberikan oleh Fakhrul hari ini ia bercanggah kerana mengikut seksyen itu tidak menunjukkan perkataan "tempat tersembunyi" sebaliknya hanya ada perkataan "tempat terselindung".
"Awak mengakui awak telah sengaja menambahkan perkataan "tempat tersembunyi" sedangkan mengikut seksyen itu tidak menyatakan ada perkataan itu, mengapa awak bagi keterangan yang tak betul, jika tidak tahu cakap saja tak tahu, ini menunjukkan awak hanya menambahkan perkataan itu," kata Fakhrul.
Bagaimanapun, Kyrool Nizam membantah dan tidak bersetuju dengan cadangan Fakhrul yang mendakwa beliau tidak layak dipercayai untuk memberi keterangan dalam kes tersebut.
Pendakwaan diwakili pegawai pendakwa syarie Zusyarafain Yusof.
Perbicaraan hadapan Hakim Syarie Salehudin Yatim bersambung 4 Dis ini.
-- BERNAMA
|
|
|