Bernama.com
Am 06 November, 2009 19:20 PM
 
Kerajaan Pulau Pinang Perlu Buat Kajian Semula Miskin Tegar


KEPALA BATAS, 6 Nov (Bernama) -- Kerajaan Negeri Pulau Pinang perlu membuat kajian semula berhubung bilangan keluarga miskin dan miskin tegar yang terdapat di negeri ini, kata Setiausaha Umno Negeri Datuk Azhar Ibrahim.

Beliau berkata walaupun kerajaan negeri mengisytiharkan Pulau Pinang mencapai sasaran miskin sifar tetapi berkemungkinan terdapat angka baru golongan itu.

"Mungkin akan ada peningkatan disebabkan beberapa faktor antaranya keadaan ekonomi sekarang, jadi saya cabar mereka untuk buat kajian semula," katanya kepada pemberita selepas melancarkan projek industri tekstil (Printek) Projek Pembangunan Masyarakat Setempat (PPMS) di Kampung Penaga 20, Penaga di sini hari Jumaat.

Pada April tahun ini Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng mengisytiharkan bahawa Pulau Pinang di bawah pentadbirannya berjaya menghapuskan miskin tegar.

Namun, perangkaan Jabatan Kebajikan Masyarakat menunjukkan masih terdapat golongan miskin tegar di seluruh Pulau Pinang ialah 494 keluarga dan 1,500 keluarga miskin. Kebanyakan keluarga miskin tegar ini terdapat di daerah Seberang Perai Utara (SPU).

Azhar, yang juga anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Penaga, berkata selepas pengisytiharan Pulau Pinang bebas miskin tegar, kerajaan negeri pimpinan parti pakatan DAP-Parti Keadialan Rakyat (PKR)-PAS tidak membuat bancian dan kajian semula berhubung perkara itu.

"Cuba mereka tinjau di kawasan-kawasan kampung masih ramai lagi golongan miskin tegar, dan jumlah mereka tetap akan ada memandangkan keadaan ekonomi ketika ini," katanya.

Azhar berkata dalam usaha membasmi kemiskinan menjelang 2010, Unit Pelaksanaan dan Pelarasan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) telah membuat kajian semula bilangan golongan miskin tegar di seluruh Pulau Pinang.

"Kajian yang dilakukan sejak lima bulan lepas dijangka dapat diketahui pada penghujung tahun ini," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Azhar berkata dengan peruntukan RM3.2 juta, Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) akan membina sebanyak 50 buah rumah di Kampung Tok Alang bagi keluarga tersenarai dalam miskin dan miskin tegar di negeri ini.

-- BERNAMA
Copyright © 2009 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels