Bernama.com
Am 06 November, 2009 19:06 PM
 
Lelaki Dipercayai Anggota Sindiket Curi Kereta Parah Ditembak


KUANTAN, 6 Nov (Bernama) -- Seorang lelaki disyaki anggota sindiket curi kereta, cedera parah dalam kejadian berbalas tembak dengan polis di Jalan Pintasan Kuantan-Pelabuhan di sini, awal hari Jumaat.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan DSP Kamaruzzaman Jaafar berkata dalam kejadian pada kira-kira pukul 4.15 pagi itu, polis terserempak dengan sebuah kereta Proton Putra bercermin gelap dalam keadaan mencurigakan berhenti berdekatan sebuah stesen minyak.

"Belum sempat anggota peronda polis keluar membuat pemeriksaan, kereta yang dipercayai dinaiki lebih dari seorang suspek itu memecut laju dan polis bertindak mengejar kereta itu yang menuju ke arah bandar Kuantan.

"Untuk menghalang polis dari terus mengejar, suspek dipercayai membuang paku payung selain turut melepaskan dua das tembakan ke arah polis," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata berikutan itu, polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan ke arah kereta terbabit.

"Suspek bagaimanapun berjaya melarikan diri dengan kereta berkenaan sejauh 30 kilometer hingga ke Kampung Budaya, Cherating," katanya.

Kamaruzzaman berkata kenderaan suspek dijumpai berhampiran semak di kampung berkenaan dan polis menemui seorang lelaki yang cedera parah di bahu akibat terkena tembakan berhampiran kawasan itu pada kira-kira pukul 1 petang ini.

Beliau berkata lelaki berusia 29 tahun dan berasal dari Pasir Puteh, Kelantan itu kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan.

Polis menemui beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk mencuri seperti parang, gari, alat pecah kereta, nombor pendaftaran kereta dan beg pakaian dalam kenderaan suspek, katanya.

Beliau berkata polis kini melancarkan gerakan memburu suspek lain.

-- BERNAMA
Copyright © 2009 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels