| FAMA Tubuh Kedai Rakyat Bantu Kumpul Hasil Pertanian |
|
SABAK BERNAM, 6 Nov (Bernama) -- Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan menubuhkan kedai runcit di bawah seliaannya dipanggil Kedai Rakyat di pekan-pekan seluruh negara sebagai pusat pengumpulan dan pemasaran hasil pertanian rakyat.
Pengerusinya Datuk Badruddin Amiruldin berkata Kedai Rakyat itu akan dijalankan oleh pekedai-pekedai runcit yang terpilih dan pihaknya kini sedang memproses permohonan-permohonan yang diterima daripada pekedai-pekedai yang berminat.
Katanya pelaksanaan program Kedai Rakyat ini dirancang bagi membantu petani-petani desa untuk memasarkan hasil-hasil pertanian mereka yang akan dibeli oleh peraih-peraih dilantik yang akan memasuki kampung-kampung dengan motosikal beroda tiga.
Badruddin berkata peraih-peraih itu akan dilantik selepas program Kedai Rakyat dilaksanakan mulai bulan hadapan.
"Dengan adanya peraih-peraih itu nanti akan memudahkan hasil pertanian mereka biarpun hanya tiga ekor ayam kampung dan dua kilogram cili yang diusahakan mereka untuk dikumpulkan dan dipasarkan di Kedai Rakyat," katanya selepas melancarkan Program Jom Makan Buah pada Ekspo Mini MAHA 2009 di Dataran Tonggak 10 di Sungai Besar di sini hari ini.
Selain daripada itu, kedai-kedai rakyat ini akan menjadi pembekal bahan-bahan kawalan seperti beras, tepung dan gula bagi memastikan penghuni desa tidak terputus bekalan makanan asas ini, katanya.
Program Jom Makan Buah yang merupakan program jualan buah-buahan bermusim bermula semalam hingga Ahad ini diadakan sempena program Mini MAHA dari pukul 10 pagi hingga pukul 10 malam.
Program ini adalah dengan kerjasama Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Negeri Selangor dan FAMA negeri.
Antara buah-buahan tempatan yang boleh dibeli oleh orang ramai di sana adalah durian, rambutan, limau manis, langsat dan pulasan.
-- BERNAMA
|
|
|