| Operasi Selamatkan Flora Dan Fauna Di Bakun Serta Murum Bermula |
|
KUCHING, 6 Nov (Bernama) -- Jabatan Hutan Sarawak sedang giat melaksanakan operasi memindahkan beberapa spesis flora dan fauna yang akan terjejas akibat projek Empangan Hidro Elektrik Bakun dan Murum, kata pengarahnya Datuk Len Talif Salleh di sini hari Jumaat.
Katanya kerja-kerja menyelamatkan beberapa spesis terlindung telah dimulakan sejak tiga bulan lepas dan keutamaan diberi kepada spesis yang terdapat di kawasan tanah rendah Bakun yang bakal ditenggelami air.
"Kerja-kerja untuk memindahkan spesis yang mungkin terancam dalam projek empangan tersebut akan dilakukan secara berterusan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan negeri Sarawak melalui Jabatan Hutan Sarawak dan Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini hari ini.
Jabatan Hutan Sarawak diwakili oleh Len Talif manakala UPM pula oleh naib canselornya Prof Datuk Dr Nik Mustapha R. Abdullah.
Katanya apabila projek itu siap, paras air akan naik secara perlahan dan tidak menjadi masalah kepada haiwan liar untuk berpindah ke tempat yang lebih tinggi kecuali spesis pokok ataupun tumbuhan yang perlu dialih ke tempat lebih tinggi.
"Tiada tempat khas yang diperuntukan kepada operasi pemindahan ini kerana spesis yang dipindah hanya akan dibiar di kawasan yang lebih tinggi di kawasan yang sama," katanya.
Mengenai MoU tersebut, katanya kerjasama itu sejajar dengan cabaran global khususnya dalam mengurus hutan secara lestari, pemeliharaan hidupan liar, pengurusan kawasan terlindung, pembangunan dalam produk pelancongan serta pembangunan hutan dan industri serta penyelidikan hutan.
Sementara itu, Prof Nik Mustapha berkata pakar dari UPM boleh dijadikan sebagai jambatan kepada universiti terkemuka dunia dalam pembangunan modal insan khasnya dalam bidang perhutanan.
Skop utama MoU tersebut ialah kerjasama dalam penyelidikan, pengajian akademik tenaga kerja Jabatan Hutan Sarawak dan mengalakkan interaksi antara pelajar UPM dan pegawai jabatan itu.
-- BERNAMA
|
|
|