| Singapura Suara Kebimbangan Dengan Konflik Thailand-kemboja |
|
SINGAPURA, 6 Nov (Bernama) -- Singapura bimbang dengan hubungan yang semakin rengang antara Thailand dan Kemboja, dua daripada 10 negara anggota Asean.
"Ia tidak baik untuk Asean," kata Kementerian Luar republik itu dalam satu kenyataan Jumaat ekoran perkembangan terbaru dalam hubungan Thailand-Kemboja.
Dua negara berjiran itu kini dilanda krisis diplomatik berikutan pelantikan bekas Perdana Menteri Thailand Thaksin Shinawatra, sebagai penasihat ekonomi kepada Perdana Menteri Hun Sen dan kerajaan Kemboja awal minggu ini.
Thaksin kini hidup dalam buangan bagi mengelak daripada tindakan undang-undang Thailand bagi pertuduhan rasuah dan Kemboja dilaporkan berkata Thaksin tidak akan diekstradisi ke Thailand jika beliau menjejakkan kaki ke bumi Kemboja.
Kedua-dua negara juga masih terbabit dalam pertikaian berlarutan berhubung pemilikan tanah di kawasan kuil purba Preah Vihear yang terletak dalam sempadan bersama yang telah mengakibatkan pertempuran maut antara tentera kedua-dua negara.
Pertikaian mengenai tanah itu memuncak apabila UNESCO meluluskan permohonan Kemboja untuk menjadikan bangunan kuil itu sebagai Tapak Warisan Dunia pada tahun lepas.
Singapura berharap kedua-dua negara akan mengutamakan kepentingan Asean dan "mencari jalan untuk menyelesaikan pertikaian itu dalam semangat kejiranan yang baik".
-- BERNAMA
|
|
|