| Empat Sekeluarga Mangsa Korban Tanah Runtuh Di Selatan Thai |
|
BANGKOK, 6 Nov (Bernama) -- Empat sekeluarga menjadi mangsa korban tanah runtuh di daerah Narathiwat, selatan Thailand selepas rumah yang didiami mereka ditimbus tanah berikutan hujan lebat yang turun sejak beberapa hari yang lalu.
Seorang jurucakap Polis Thailand berkata pasangan suami isteri dan anak mereka berumur tiga dan sepuluh tahun tertimbus hidup-hidup dalam kejadian yang berlaku sebelum tengah hari di Tambon Sa Khon dalam daerah Si Sakhon.
"Pasukan penyelamat menjumpai kesemua mayat mangsa selepas operasi mencari dan menyelamat dilancarkan. Hujan lebat turun sejak 3 Nov lalu dan kawasan itu juga dilanda banjir," katanya yang dihubungi hari ini.
Laporan dari selatan menyebut, 24 buah sekolah diarahkan tutup selepas banjir melanda yang turut menyebabkan beberapa kawasan terputus hubungan di kawasan Narathiwat, Waeng, Sungai Padi dan di daerah Sukhirin.
Jabatan Meteorologi Thailand telah mengeluarkan amaran hujan lebat dan banjir di 10 wilayah selatan dalam tempoh beberapa hari ini akibat angin yang bertiup kencang di Teluk Thailand dan di Lautan Andaman.
Ketika wilayah selatan Thailand dilanda banjir, beberapa wilayah di utara dan timur laut pula sedang bersiap sedia menghadapi musim sejuk di mana kawasan pergunungan Doi Inthanon di Chiang Mai kini berada pada suhu 6.5 darjah Selsius.
Bandaraya Bangkok juga mula merasai cuaca yang sejuk antara 20 hingga 22 darjah Selsius.
--BERNAMA
|
|
|