Bernama.com
Am 06 November, 2009 18:26 PM
 
Generator Berkuasa 20MW Di Tawau Beroperasi Disember


TAWAU, 6 Nov (Bernama) -- Generator berkuasa 20 megawatt (MW) yang sedang dipasang di Pasir Putih, dekat sini oleh Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dijadualkan mula beroperasi 24 Disember depan, kata Pembantu Menteri Kewangan Sabah Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan.

Katanya apabila beroperasi kelak ia diharap dapat mengurangkan masalah gangguan bekalan elektrik yang kerap berlaku di Tawau akibat langkah catuan bekalan yang dilaksanakan SESB.

"SESB telah menyempurnakan pemasangan dua set generator berkapasiti 20MW di Sandakan sementara generator berkapasiti 20MW di sini sedang dipasang secara berperingkat," katanya kepada pemberita selepas melawat tapak pemasangan generator itu di sini hari Jumaat.

Terdahulu, Tawfiq yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Apas diberi taklimat berhubung pelan pemasangan generator berkenaan oleh Ketua Operasi SESB Sabah Abdul Razak Salim.

Menurut Tawfiq dengan pemasangan generator itu secara langsung telah merealisasikan hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahukan set generator dibekalkan ke kawasan pantai Timur Sabah yang berhadapan dengan masalah bekalan elektrik yang serius.



Najib menyuarakan perkara berkenaan ketika menghadiri majlis berbuka puasa di samping menemui pemimpin masyarakat setempat dan rakyat di Tawau pada 13 Sept lepas.

Abdul Razak pula berkata pada masa ini Tawau memerlukan kira-kira 72MW tenaga sehari dan SESB berupaya menjana sehingga 87MW sehari iaitu 36MW daripada penjana kuasa persendirian (IPP) dan selebihnya 41MW dijana SESB sendiri.

Bagaimanapun katanya apabila janakuasa mengalami kerosakan, pihaknya terpaksa membuat catuan bekalan seterusnya menyumbang kepada masalah gangguan bekalan elektrik di Tawau.

Abdul Razak berharap pembinaan janakuasa menggunakan arang batu di Felda Sahabat, Lahad Datu kelak akan dapat mengatasi masalah bekalan elektik secara jangka panjang di kawasan pantai Timur Sabah.

--BERNAMA
Copyright © 2009 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels