| Kerajaan Beri Jaminan Pembangunan Tidak Jejaskan Ekosistem Kampung Pertak |
|
HULU SELANGOR, 6 Nov (Bernama) -- Kerajaan memberi jaminan kepada masyarakat Orang Asli Kampung Pertak di Kuala Kubu Baharu dekat sini bahawa sebarang usaha pembangunan tidak akan menjejaskan ekosistem dan alam sekitar di situ.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk T. Murugiah berkata kerajaan akan memastikan tidak ada pembalakan atau pengambilan pasir secara haram dilakukan di kawasan itu, yang didiami seramai 203 Orang Asli.
"Kerajaan beri jaminan bahawa kita tidak akan mengganggu-gugat alam sekitar yang sedia ada. Apa juga perkara yang kerajaan buat adalah untuk kepentingan umum dan kepentingan Orang Asli sendiri.
"Janganlah ada pihak-pihak tertentu yang salah tafsir dan memberi pandangan berbeza (mengenai pembangunan yang dijalankan) yang boleh mencetuskan bermacam-macam hal," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perbincangan dengan Orang Asli di kawasan itu.
Pada perbincangan itu, masyarakat Orang Asli itu, yang diketuai Tok Batin Bida Chik, mengadu mengenai pembinaan jalan raya berturap itu yang dibimbangi mereka akan memungkinkan berlakunya pembalakan dan pengambilan pasir secara haram di kawasan perkampungan mereka.
Murugiah menjelaskan bahawa kerajaan telah meluluskan projek jalan raya itu, yang dijangka siap tahun depan, selain memaklumkannya kepada Tok Batin Kampung Pertak yang turut memberi persetujuan untuk pembinaan jalan raya itu bagi kemudahan penduduk.
Murugiah memberi jaminan bahawa pemantauan lebih kerap akan dilakukan di kawasan itu bagi memastikan tiada kejadian curi pasir dan pembalakan haram berlaku.
Murugiah kemudian melawat sekitar kampung itu yang menurutnya berpotensi dimajukan sebagai satu kawasan pelancongan.
"Saya mendapati kawasan ini memang berpotensi untuk dijadikan sebagai kawasan perkelahan selain terdapat simpanan sejarah yang banyak contohnya terdapat gerabak kereta api, jalan kereta api dan jambatan yang dibina British juga dikekalkan di situ.
"Tempat ini kalau dimajukan sudah tentu akan memberi satu kehidupan yang baru kepada Orang Asli di sini di mana mereka boleh berniaga. Saya ucapkan syabas kepada Adun kawasan ini (Adun Kuala Kubu Baharu Wong Koon Mun) yang banyak berjasa dan berusaha keras untuk memajukan kawasan ini," katanya.
-- BERNAMA
`
|
|
|