Bernama.com
Am 06 November, 2009 17:11 PM
 
Wanita Hamil Mengaku Tidak Salah Beri Rasuah


JOHOR BAHARU, 6 Nov (Bernama) -- Seorang wanita yang sedang hamil enam bulan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas tuduhan memberi rasuah sebanyak RM862 kepada seorang pegawai polis, April lepas.

Mariyam Hatu Nur Ahmad, 33, didakwa melakukan kesalahan berkenaan di hadapan Masjid Al-Raudah, Jalan Saleng, Kulaijaya, kira-kira pukul 10.20 pagi, 19 April lepas.

Wanita rakyat Myanmar dan menetap di Kulaijaya itu didakwa memberi suapan itu kepada ASP Roslan Abdullah yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulaijaya sebagai dorongan supaya tidak menahan suaminya S.Murugan @ Mohd Ali Abdullah atas kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1985).

Mariyam didakwa mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Taufik Khamis.

Hakim Ab Rahmad Adol menetapkan wang jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin dan 12 Jan depan sebagai tarikh sebutan.

-- BERNAMA
Copyright © 2009 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels