| Cadangan Malaysia Tubuh Gerbang Berita Asean Dapat Sokongan |
|
Oleh Zulkefli Salleh
VIENTIANE, 6 Nov (Bernama) -- Malaysia mendapat sokongan rakan-rakan Aseannya untuk menubuhkan sebuah gerbang berita dan maklumat sesama anggota Asean, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.
Penubuhan pusat berita Asean itu, yang akan ditempatkan di Kuala Lumpur, dicadangkan pada Persidangan Menteri Asean yang Bertanggungjawab Mengenai Penerangan (AMRI) yang disusuli mesyuarat sulung AMRI 3 yang berakhir di sini Jumaat.
Rais memberitahu persidangan itu bahawa Malaysia berpendapat Asean kini perlu meningkatkan penyaluran berita dan maklumat ke arah mencapai matlamat membentuk Komuniti Asean menjelang 2015.
"Rakan-rakan sejawatan saya menyokong inisiatif itu," katanya kepada Bernama dan RTM sebelum berlepas pulang setelah menghadiri persidangan dua hari itu.
Rais berkata bahawa rakan-rakan menteri Asean itu bagaimanapun mencadangkan agar pusat itu, yang buat masa ini akan dikenali sebagai "Asean Media Gateway", menjadi platform yang berbeza daripada Gerbang Maklumat Selatan-Selatan (SSIG-South-South Informatin Gateway) yang ditubuhkan oleh Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan untuk meningkatkan aliran maklumat.
Rais berkata bahawa beliau memberitahu persidangan ke-10 AMRI mengenai pentingnya penduduk di negara-negara Asean mengutamakan pertubuhan serantau itu ke arah mencapai matlamat membentuk Komuniti Asean, dan ini boleh dicapai menerusi berita dan maklumat yang dapat disebarkan melalui pelbagai cara.
Pada ketika ini, berita mengenai Asean tidak menjadi keutamaan di sesetengah ibu negara kita," katanya.
Ketika ditanya mengenai operasi gerbang berita yang dicadangkan itu, Rais berkata wartawan dari negara-negara Asean boleh dipinjamkan untuk satu tempoh tertentu bagi menyebarkan maklumat dan gambar kepada rangkaian media yang menyertainya.
Bagi meningkatkan interaksi di peringkat penduduk Asean, beliau mencadangkan agar Asean mengkaji kemungkinan menurunkan kadar panggilan telefon bimbit sesama negara anggota.
Pada persidangan itu, para menteri berkenaan juga membincangkan mengenai perlunya rantau ini secara bersama memajukan industri kreatif bagi menyediakan bahan kandungan yang selari dengan jatidiri penduduk Asean.
Pada persidangan AMRI 3, Jepun, Korea dan China, bersetuju untuk menjalin kerjasama lebih erat dengan Asean dalam bidang penerangan khususnya dalam latihan pengamal media, bidang penyiaran digital dan industri kreatif.
Dalam satu kenyataan bersama, AMRI 3 menyatakan bahawa persidangan sulung itu menandakan permulaan rasmi kerjasama sektor penerangan antara Asean dan tiga rakan dialognya itu.
Antara bidang kerjasama utama yang dikenal pasti ialah dalam bidang penyiaran digital, memajukan industri kreatif dan pertukaran media.
Mesyuarat itu bersetuju agar Asean mengambil pendekatan berperingkat untuk menamatkan kaedah penyiaran secara analog bagi tempoh 2015 dan 2020.
Para menteri berkenaan juga melawat stadium dan pusat media di sini yang akan digunakan untuk Sukan Sea ke-25 pada 9-18 Dis ini.
Persidangan AMRI ke-11 dan persidangan AMRI 3 kedua, dijadual berlangsung di Malaysia pada 2011.
-- BERNAMA
|
|
|