| Polis Buru Tiga Lelaki Larikan RM200,000 |
|
PULAU PINANG, 6 Nov (Bernama) -- Polis masih memburu tiga lelaki yang merompak wang tunai sebanyak RM200,000 dari sebuah van syarikat kawalan keselamatan di Jalan Gelugor di sini Khamis.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Ayub Yaakob berkata pihaknya telah melancarkan operasi besar-besaran bagi mengesan tiga lelaki yang bersenjatakan selaras raifal M-16 dalam rompakan kira-kira pukul 9 pagi itu.
"Setakat ini, kita menahan dua pengawal keselamatan berusia 20 dan 45 tahun bagi membantu siasatan kes berkenaan dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti kejadian sebenar," katanya kepada pemberita di sini pada Jumaat.
Katanya pihaknya juga telah mengambil keterangan daripada beberapa pekerja syarikat keselamatan berkenaan dan saksi kejadian.
"Polis juga sedang berusaha mengenalpasti identiti tiga suspek yang terbabit dalam kejadian berkenaan," katanya.
Dalam kejadian itu tiga lelaki bersenjatakan selaras raifal M-16 bertindak nekad dengan mengari tangan seorang pengawal keselamatan sebelum melarikan wang tunai RM200,000 yang ingin dimasukkan ke dalam van.
Perompak terbabit juga turut melarikan sepucuk revolver milik pengawal keselamatan yang digari itu.
-- BERNAMA
|
|
|