Bernama.com
Am 06 November, 2009 16:05 PM
 
Perdana Menteri Lawat Sabah Selama Dua Hari Mulai Sabtu


KOTA KINABALU, 6 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan melakukan lawatan rasmi ke Sabah selama dua hari mulai Sabtu.

Beliau yang diiringi isterinya Datin Seri Rosmah Mansor dijadual merasmikan tiga mesyuarat parti komponen Barisan Nasional (BN) di Sabah pada sepanjang lawatan itu.

Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman berkata sejurus tiba petang esok, Najib akan merasmikan Kongres Parti Bersatu Sabah (PBS) di salah sebuah hotel di sini.

Pada keesokan paginya, Perdana Menteri akan menghadiri Kongres Parti Liberal Demokratik (LDP) di 1Borneo, dekat sini sebelum menghadiri majlis makan tengah hari bersama pemimpin-pemimpin Umno Sabah, katanya kepada pemberita selepas melancarkan identiti korporat baru RHB Islamic Bank cawangan Kota Kinabalu di sini, pada Jumaat.

Musa berkata pada sebelah petang, Najib dijadual merasmikan konvensyen Nasional Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) di Dewan Pusat Kebudayaan Penampang sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur.

-- BERNAMA
Copyright © 2009 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels