| Mercy M'sia Anjur Jamuan Makan Amal Bagi Mangsa Bencana |
|
KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) -- Mercy Malaysia akan mengadakan jamuan makan malam tahunan minggu depan bagi mengumpul dana untuk mangsa gempa bumi di Padang, Indonesia dan mangsa taufan Ketsana di Filipina.
Setiausahanya Raja Riza Shazmin Raja Badrul Jumaat berkata majlis amal itu akan diadakan di Hotel Hilton di sini pada 13 Nov ini dengan setiap meja untuk 10 orang dijual dengan harga RM3,000 hingga RM30,000.
Katanya Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, selaku penaung Mercy Malaysia, merupakan tetamu kehormat pada majlis itu.
Majlis itu juga serentak dengan Persidangan Antarabangsa Kemanusiaan selama dua hari di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini anjuran kerjasama Majlis Agensi Kesukarelaan Antarabangsa.
Tema persidangan tersebut ialah "Kerjasama Dalam Perubahan Persekitaran Kemanusiaan Bagi Respon Berkesan".
Antara penceramah pada persidangan tersebut ialah penolong setiausaha agong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi sokongan membina keamanan, Judy Cheng Hopkins, wakil Suruhanjaya Tinggi PBB Bagi Pelarian (UNHCR) Alan Vernon dan presiden Mercy Malaysia Dr Ahmad Fauizal Perdaus.
Mereka yang berminat menyertai persidangan tersebut boleh berdaftar dalam talian di alamat www.mercy.org.my.
Mercy Malaysia adalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ditubuhkan pada 1999 dengan fokus utama memberi bantuan kemanusiaan dan perubatan.
Mereka mempunyai lebih 5,000 sukarelawan dan terbabit dalam pelbagai projek bantuan di banyak negara termasuk Myanmar, Sudan, Pakistan, Indonesia, Afghanistan, Kemboja, Sri Lanka dan China.
-- BERNAMA
|
|
|