| Kehadiran Pelancong United Kingdom Ke Langkawi Dijangka Meningkat |
|
LANGKAWI, 6 Nov (Bernama) -- Kehadiran pelancong dari United Kingdom ke Langkawi dijangka meningkat dengan promosi yang akan diadakan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), di London selama empat hari bermula Isnin ini.
Pengurus Perhubungan Awam LADA, Ramizi Hassan pada Khamis berkata LADA akan menyertai Tourism Malaysia mengambil bahagian pada "World Travel Market" yang akan membolehkan LADA mempromosi pulau peranginan itu secara lebih meluas.
Mengikut statistik unit pelancongan LADA, lebih 64,000 pelancong dari United Kingdom berkunjung ke Langkawi sehingga September lepas, manakala sepanjang tahun lepas lebih 100,000 pelancong melawat pulau bersejarah itu.
Ramizi berkata Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi (LIMA 09) mulai 1 hingga 5 Dis ini adalah antara acara yang akan dipromosi untuk dihebahkan kepada pelancong negara berkenaan.
Katanya LADA telah mengadakan beberapa promosi sebelum ini termasuk di Singapura dan India kerana mempunyai pasaran terbaik kepada industri pelancongan Langkawi.
-- BERNAMA
|
|
|