| Lelaki Jatuh Gaung Di Lebuh Raya Timur-Barat Ditemui Selamat |
|
IPOH, 6 Nov (Bernama) -- Seorang lelaki yang dilaporkan hilang semasa membuang air di kawasan hutan Lebuh Raya Timur-Barat dekat Gerik semalam dijumpai selepas tengah malam Khamis.
N.Thalagaratnam, 48, dari Lahat di sini, tersesat di hutan berkenaan selepas terjatuh ke dalam gaung tepi lebuh raya berkenaan, kata Ketua Polis Daerah Gerik Supt Mahad Nor Abdullah pada Jumaat.
"Dia hanya mengalami luka di kaki dan mendapat bantuan seorang lelaki sebelum membuat laporan polis," katanya ketika dihubungi.
Thalagaratnam ketika dihubungi di rumahnya di sini berkata beliau tergelincir dan jatuh ke dalam gaung sedalam enam meter semasa kejadian kira-kira 10.30 malam itu dan menjerit beberapa kali kepada rakannya yang berada dalam kereta.
"Saya berusaha mendaki tebing tetapi ketika itu hujan dan kawasan itu sangat gelap. Saya terus berjalan mencari jalan keluar dan hanya berjaya selepas terdengar bunyi kenderaan," katanya.
Thalagaratnam berkata beliau beberapa kali bersembunyi di belakang pokok besar apabila terdengar bunyi menakutkan dipercayai binatang buas.
Dalam kejadian itu, Thalagaratnam bersama rakannya dalam perjalanan dari sini ke Jeli, Kelantan, dan berhenti di Km 82 Lebuhraya Timur-Barat, 180 kilometer dari sini, kerana hendak membuang air.
Rakannya M.Manibalan 47, yang menunggu dalam kereta mengesyaki sesuatu apabila Thalagaratnam tidak muncul selama sejam dan membuat laporan polis 7.30 pagi semalam.
Polis dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Rela melancarkan operasi mencari dan sehingga petang semalam.
-- BERNAMA
|
|
|