Bernama.com
Am 06 November, 2009 12:23 PM
 
Terengganu Mula Dilanda Banjir Musim Tengkujuh


KUALA TERENGGANU, 6 Nov (Bernama) -- Banjir musim tengkujuh melanda Terengganu apabila penduduk di tiga daerah dipindahkan ke kawasan selamat pagi Jumaat.

Di Hulu Terengganu, 19 penduduk Kampung Pelandang, Tersat, Hulu Terengganu, dipindahkan pada 9.30 pagi tadi setelah air dari Sungai Tersat naik mendadak sehingga tiga meter melimpahi kampung berkenaan akibat hujan lebat sejak dua hari lepas.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, DSP Tengku Hamzah Tengku Abdullah memberitahu Bernama bahawa kesemua penduduk terdiri daripada tiga keluarga itu dipindahkan ke Pusat Khidmat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Pelandang.

Katanya km 17 Jalan Kuala Berang-Kuala Ping dan km 13 Jalan Kampung Kepah ditutup kepada kenderaan ringan akibat dinaiki air.

Turut ditutup jalan kampung dari Kampung Pengkalan Ajal ke Kampung Menerong kerana air naik sehingga ke jambatan di situ pada 9.45 pagi tadi.

Jalan kampung lain yang ditutup kepada kenderaan ringan ialah jalan dari Kampung Matang ke Kampung Nibong, dan dari Kampung Jak ke Kampung Tanggol.

Di Dungun, jurucakap Bilik Gerakan Ibupejabat Polis Daerah Dungun berkata dua keluarga dari Kampung Paya Balai Besar dipindahkan ke Sekolah Bebangsaan Balai Besar pada 10 pagi tadi.

Di Besut pula, seramai 374 penduduk daripada 115 keluarga di beberapa kampung daerah itu mula dipindahkan sejak pagi tadi.

Di Kampung Keruak, seramai 100 mangsa banjir daripada 27 keluarga dipindahkan ke Masjid Keruak, di Kampung Belaoh, 36 daripada 12 keluarga dipindahkan ke surau kampung berkenaan, di Kampung La seramai 204 orang daripada 65 keluarga dipindahkan ke masjid kampung berkenaan, di Kampung Pok Sik 30 orang daripada 10 keluarga dipindahkan ke surau kampung itu, dan empat sekeluarga dari Kampung Bukit Payung dipindahkan ke Sekolah kebangsaan Seri Payung.

Tiga jalan di Besut ditutup kepada semua kenderaan, iaitu di Batu 13 jalan Jertih-Keruak yang dinaiki air setinggi 0.5 meter, jalan Jerteh-Keruak ke Kampung La, yang dinaiki air setinggi satu meter, dan jalan Gertak-Jerbong di Pasir Akar, yang dinaiki air setinggi 1.3 meter.

Menurut jurucakap Bilik Gerakan Banjir Besut, bacaan paras air Sungai Besut di Jambatan Keruak pada pukul 11.20 pagi tadi mencecah 36.77 meter, melepasi paras bahaya 35 meter manakala bacaan air sungai berkenaan di Kampung La ialah 21.22 meter, melepasi paras bahaya 19.20 meter.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu berkata selain Sungai Besut, beberapa sungai turut mencatat bacaan melebihi paras bahaya.

Bacaan di Sungai Setiu mencatat 8.95 meter, melepasi paras bahaya 8.5 meter pada 11 pagi tadi. Sungai Nerus di Kampung Langkap kini berada pada para 22.6 meter, melepasi paras bahaya 21.5 meter.

Jurucakap itu berkata maklumat terkini paras air di beberapa batang sungai lain di daerah Marang, Dungun dan Kemaman belum diperoleh.

Orang ramai yang ingin mendapat maklumat lanjut boleh menghubungi talian 09-6224072 atau 09-6274172.

-- BERNAMA
Copyright © 2009 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels