Bernama.com
Am 06 November, 2009 11:12 AM
 
Cadangan Naikkan Elaun Tuai Rumah Perlu Kajian : Jabu


KUCHING, 6 Nov (Bernama) -- Cadangan kenaikan kadar elaun bagi tuai rumah panjang perlu dikaji terlebih dahulu daripada segi bebanan tugas mereka dan keperluan semasa, kata Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Alfred Jabu.

Beliau berkata perkara itu harus dibincangkan oleh sebuah jawatankuasa khas selain dirujuk kepada Setiausaha Kerajaan Negeri terlebih dahulu.

"Cadangan untuk menaikan kadar elaun dari RM450 sebulan belum pasti akan dibincangkan pada persidangan Dewan Undangan Negeri yang akan datang," katanya kepada pemberita pada majlis penyampaian Anugerah Pelajar Cemerlang 2009 di SMK St Augustine, Betong, Khamis.

Beliau diminta mengulas perkara berkenaan kerana garis kemiskinan yang telah ditetapkan pada masa sekarang adalah untuk rakyat yang berpendapatan di bawah RM500 sebulan dan ini bermakna ia termasuk tuai rumah, yang hanya bergantung kepada elaun jawatan mereka semata-mata.

Terdahulu Jabu berkata kerajaan sentiasa memberi penekanan kepada soal pendidikan masyarakat di luar bandar dan menyeru pelajar menjadikan konsep "DIDIK" iaitu pendidikan, kepintaran, disiplin, integriti dan pengetahuan, sebagai satu panduan untuk membolehkan mereka bersaing merebut peluang yang wujud seperti peluang pekerjaan di sektor swasta ataupun awam.

-- BERNAMA
Copyright © 2009 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels