Bernama.com
Am 02 November, 2009 18:28 PM
 
Mohd Rodwan Ketua Polis Melaka Yang Baru


MELAKA, 2 Nov (Bernama) -- Bekas Timbalan Pengarah Perancangan Strategik di Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, SAC 1 Datuk Mohd Rodwan Mohd Yusof dilantik sebagai Ketua Polis Melaka yang baru menggantikan SAC 1 Datuk Mazlan Mansor, berkuatkuasa Isnin.

Mazlan pula berpindah ke Bukit Aman untuk mengambilalih tempat Mohd Rodwan.

Majlis serah tugas antara Mazlan dan Mohd Rodwan berlangsung di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka di sini, disaksikan Timbalan Pengarah Bahagian Latihan Bukit Aman, DCP Datuk Mortadza Nazarene.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis itu, Mohd Rodwan, 52, berkata beliau berazam untuk menurunkan kadar jenayah di Melaka dan meningkatkan kebajikan perumahan anggota polis.

Beliau berkata indeks jenayah di Melaka menurun 5.3 peratus sejak Januari hingga Oktober tahun ini berbanding tahun lepas.

Katanya jumlah kes jenayah adalah sebanyak 3,338 kes manakala jumlah kes yang dapat diselesaikan ialah sebanyak 48 peratus.

"Saya ucapkan tahniah ke atas kepimpinan Datuk Mazlan dan semua ketua jabatan atas apa yang telah dilakukan dan saya akan cuba meningkatkan lagi peratusan pengurangan kadar jenayah tersebut kerana Melaka merupakan negeri pelancongan," katanya.

Beliau berkata sebanyak 556 unit rumah di kawasan perumahan polis Seri Temenggong, Bukit Katil di sini, yang dibaik pulih sejak Mei lepas, kini hampir siap dan boleh diduduki sebelum akhir tahun ini.

"Kos projek membaik pulih perumahan anggota polis itu berjumlah RM64 juta dibiayai Kerajaan Persekutuan, mengandungi dua unit banglo kelas C untuk Ketua Polis dan Timbalan Ketua Polis negeri, 14 unit rumah jenis Semi D untuk pegawai kanan yang diwartakan berpangkat ASP ke atas, 80 Unit apartment untuk pegawai kumpulan Inspektor dan 460 unit untuk anggota pangkat rendah," katanya.

Katanya antara pembaikan utama yang dibuat ialah pengukuhan cerun tanah di kawasan perumahan dan penukaran pendawaian elektrik, paip air, lantai dan dinding.

"Kami mempunyai panel bebas untuk memeriksa kerja-kerja yang telah dibuat, jika berpuas hati kerja telah sempurna dan teratur, kami akan arahkan anggota masuk ke rumah tersebut," katanya.

Mohd Rodwan, 52, yang berasal dari Negeri Sembilan mula menyertai Polis Diraja Malaysia pada Mei 1978, pernah bertugas di Bahagian Perundangan dan Pendakwaan PDRM hampir 10 tahun, bertugas sebagai Pegawai Turus D7 di IPK Kedah, Ketua Ibu Pejabat Polis Daerah Klang dan Ketua Penolong Pengarah D7 Bukit Aman.



-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels