Bernama.com
Am 24 Oktober, 2009 18:50 PM
 
Sultan Pahang Harap Kerjasama Kerajaan Negeri-Persekutuan Berterusan


PEKAN, 24 Okt (Bernama) -- Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah berharap bantuan dan kerjasama daripada Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri Pahang berterusan dalam merencana pembangunan sosio-ekonomi untuk kesejahteraan rakyat di negeri itu.

Baginda bertitah bantuan yang disalurkan kerajaan untuk pelbagai projek rakyat di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) selama ini adalah bukti kerjasama erat yang sekian lama terjalin di antara dua pihak.

Baginda bertitah projek seperti Projek Taman Industri Minyak, Gas Dan Maritim di Tanjung Agas, Pekan, Pahang dan wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) yang banyak dibantu oleh Kerajaan Persekutuan ternyata membawa pelbagai kebaikan kepada rakyat Pahang khususnya.

"Beta percaya di bawah RMK-10, projek ECER akan dapat peruntukan sewajarnya daripada Kerajaan Persekutuan untuk dilaksanakan pelbagai program untuk rakyat dan projek Tanjung Agas yang membawa masuk pelaburan sebanyak USD5 bilion mewujudkan 30,000 peluang dalam tempoh masa lima hingga tujuh tahun," titah baginda.

Sultan Ahmad Shah bertitah demikian di istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran Negeri sempena memuliakan ulang tahun hari keputeraan baginda yang ke-79 di Istana Abu Bakar di sini, pada hari Sabtu.

Baginda bertitah bantuan sebanyak RM150 juta daripada Kerajaan Persekutuan untuk pelbagai infrastruktur untuk kedua-dua projek itu serta peruntukan tambahan sebanyak RM300 juta untuk projek di bawah RMK-10 amat dihargai oleh Kerajaan Negeri Pahang.

"Beta percaya kerjasama erat dengan Kerajaan Persekutuan ini akan berterusan," titah baginda.

Pada istiadat berkenaan, seramai sepuluh penerima menerima Darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran "Datuk Seri".

Mereka terdiri daripada Pengerusi Ranhill Berhad Tan Sri Sallehuddin Mohamed, Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Zakaria Bahari, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Abu Bakar Abdullah, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Berhad Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.

Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia Jeneral Datuk Rodzali Daud, Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia, Datuk Redzuan Tan Sri Sheikh Ahmad, Pengarah Eksekutif Public Bank Bhd Datuk Lee Kong Lam, Pengerusi Ingenuity Solutions Berhad Datuk Dr Shafiq Sit Abdullah dan Pengerusi Eksekutif Putrana Oil Refinery Sdn Bhd Mohammad Saraei Faridoun.

Bagi Darjah Sri Indera Mahkota Pahang (SIMP) yang membawa gelaran "Datuk", seramai tujuh penerima darjah berkenaan - Cik Puan Bendahara Pahang Datuk Habibah Yusoff, Cik Puan Tengah Pahang Datin Sri Rohaya Abd Rahim, Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Kamaruddin Siaraf, Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Datin Madinah Mohamad, Ketua Pengarah Jabatan Pertanian Roseley Khalid, Pengerusi Eksekutif Heitech Padu Bhd Datuk Mohd Hilmey Mohd Taib dan Timbalan Panglima Tentera Laut Laksamana Madya Datuk Wira Mohammed Noordin Ali.

Seramai 14 orang pula menerima Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang (DSAP) yang juga membawa gelaran "Datuk".

Mereka ialah Tengku Nurul Kamalia Tengku Besar Pahang Tengku Kamil Ismail, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah dan Hakim Mahkamah Tinggi Jabatan Kehakiman Malaysia Datuk Suraya Othman.

Seramai 60 pula dianugerahkan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang turut membawa gelaran "Datuk" yang antaranya terdiri Hakim Mahkamah Tinggi Temerloh Akhtar Tahir, Pengarah Eksekutif Suasa Efektif (M) Sdn Bhd Tengku Taha Alfashini Tengku Abdul Murad Shah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mentakab Chuah Boon Seong dan ADUN Tioman Kapten (B) Mohd Johari Hussain.

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels