Bernama.com
Am 08 Oktober, 2009 19:22 PM
 
KTMB Rombak Jadual Keretapi Antara Bandar Bulan Depan


KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan merombak jadual perjalanan keretapi antara bandar bulan depan ekoran rungutan dan maklum balas pelanggan berhubung kelewatan perkhidmatan keretapinya, kata Presidennya, Dr Aminuddin Adnan.

Selain itu, beliau berkata KTMB juga bakal memperkenalkan keretapi berkelajuan tinggi, "Electric-Train-Set" (ETS) yang menyambungkan perjalanan ke tiga destinasi, Ipoh-Kuala Lumpur-Seremban April tahun depan dan perjalanan dari Ipoh ke Padang Besar serta Seremban ke Gemas, pada 2013.

"Inisiatif dan projek ini kami jalankan bagi meningkatkan lagi perkhidmatan KTMB yang sudah beroperasi semenjak tahun 1948," katanya ketika ditemui pemberita selepas sambutan Majlis Mesra Aidilfitri, di sini hari ini.

Dr Aminuddin turut mengumumkan KTMB bakal menaikkan tambang keretapi antara bandar dan komuter selaras dengan peningkatan perkhidmatannya kelak.

"Para pelanggan bakal menikmati penjimatan masa perjalanan sejam melalui projek ETS nanti. Kita jangka untuk menaikkan tambang sebanyak 10 peratus bagi perkhidmatan keretapi antara bandar manakala bagi ETS pula tertakluk kepada kaji selidik yang akan dibuat nanti," katanya.

"Kita berharap pelanggan KTMB boleh membayar harga baru itu nanti. Kita tidak mahu mendengar sebarang rungutan, ini kerana jika perkhidmatan meningkat maka harga pun akan meningkat," katanya.

Pada masa ini, tambang bagi perkhidmatan keretapi antara bandar ialah daripada RM1 hingga RM8, manakala bagi tambang komuter Ipoh-Kuala Lumpur-Seremban adalah antara RM12 dan RM18.

Dr Aminuddin berkata KTMB melabur sebanyak RM15.7 bilion bagi keseluruhan projek ETS yang melibatkan landasan keretapi sepanjang 740km.

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels