Bernama.com
Am 27 September, 2009 00:19 AM
 
Tidak Ada Sebab Untuk Halang Beyonce Adakan Persembahan


KUALA KLAWANG, 27 Sept (Bernama) -- Tidak ada sebab untuk menghalang penyanyi terkenal dari Amerika Syarikat, Beyonce mengadakan persembahan di negara ini jika beliau mematuhi syarat dan peraturan, kata Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Katanya ia juga bukan satu perkara baru apabila seorang penyanyi terkenal barat ditentang dari datang ke Malaysia.

"Sekiranya beliau menunjukkan aurat dan sengaja melanggar peraturan yang dikenakan pihak berkuasa maka beliau tidak dibenarkan," katanya kepada pemberita selepas menganjurkan majlis rumah terbuka beliau yang dihadiri oleh kira-kira 5,000 rakyat lapisan bangsa di sini Sabtu.

Katanya, pihak yang menentang itu harus sabar dan lihat dulu, jika pertunjukkan itu tidak menepati peratutan perundangan dan agama, ia sudah semestinya salah.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kedatangan Beyonce pada 25 Okt depan meskipun banyak pihak yang menentang dengan alasan ia menjatuhkan moral remaja negara ini.

Sementara itu ketika menyentuh majlisnya hari ini beliau memberitahu, satu majlis yang lebih besar akan dianjurkan bersama kementeriannya dengan kerajaan negeri Perak pada 18 Okt depan.

"Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka akan menyampaikan ucapan penting pada majlis itu yang juga menjadi lambang 1Malaysia," katanya.

Beliau berharap lebih banyak majlis yang mampu memupuk semangat persaudaraan di kalangan kaum di Malaysia dapat dianjurkan di kawasan luar bandar.

"Ini adalah cermin perpaduan rakyat, jadi kementerian ingin meneruskan tradisi menggunakan jasa baik org ramai menerusi majlis-majlis rumah terbuka untuk perpaduan dan mengeratkan siratul rahim," katanya.

Katanya, dalam erti kata lain, majlis Aidilfitri seperti hari ini merupakan hari perpaduan dan penerimaan Satu Malaysia sebagai amalan sebenar.

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels