Bernama.com
Am 29 Ogos, 2009 15:04 PM
 
Kini Keperluan Lebih Mendesak Bagi Memenuhi KPI & NKRA


Oleh Jamaluddin Mohamed

PUTRAJAYA, 29 Ogos (Bernama) -- KPI, Indeks Prestasi Utama; dan akhir-akhir ini, NKRA, Bidang Pencapaian Utama Nasional; nampaknya menjadi ungkapan cukup popular di pusat pentadbiran federal di sini.

Sejak ungkapan itu diperkenalkan oleh pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak selepas beliau mengambil alih jawatan Perdana Menteri pada 3 April tahun ini, dapat dikesan sikap kesegeraan dan perhatian yang lebih mendalam terhadap KPI dan NKRA kebelakangan ini.

Malahan ada pihak mengatakan bahawa mereka yang memegang jawatan utama sedikit sebanyak mula merasakan 'hangatnya'.

Mulai daripada menteri dan timbalan menteri membawa kepada ketua setiausaha kementerian dan ketua-ketua jabatan kerajaan, dapat dikesan bahawa mereka kini sentiasa sibuk.

Bidang media di Putrajaya tidak terkecuali: terdapat permintaan meningkat oleh kementerian dan agensi-agensi kerajaan akhir-akhir ini bagi mendapatkan liputan. Dari purata biasanya dua hingga lima tugasan media sehari, kini meningkat ke lima hingga 10 tugasan.

"Barangkali mereka ingini dilihat bekerja pro-aktif dan efektif dan tidak setakat untuk memenuhi KPI," kata seorang wartawan kanan, di sini.

Sesetengah menteri malah bertindak lebih jauh dengan mengendali blog dan kerap menghantar kenyataan kepada akhbar bagi mempastikan mesej mereka sampai kepada rakyat.

Terdapat banyak kes dalam mana kementerian tertentu memuatkan maklumat mengenai misi dan aktiviti mereka di sisipan khas surat khabar.

Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan, misalnya, memuat separuh halaman surat khabar dengan pemikirannya baru-baru ini tentang bagaimana rakyat boleh bekerja sama dengan polis bagi menangani jenayah secara lebih berkesan, malah turut memberikan alamat e-melnya (musa@rmp.gov.my) untuk hubungan langsung.

Sesetengah timbalan menteri yang sebelumnya malu bertemu media kini meminta akhbar hadir di majlis mereka.

Malah ketua-ketua setiausaha kini berada dalam kumpulan media. Semasa satu lawatan baru-baru ini oleh rombongan perhubungan awam dari sebuah kementerian ke sebuah pertubuhan berita di sini, mereka ditanya mengapa terlalu sedikit liputan terhadap ketua setiausaha kementerian berkenaan.

Kini, lawatan biasapun oleh ketua-ketua jabatan ke kemudahan-kemudahan jabatan diberitahu kepada media supaya dapat diberikan publisiti.

"Memang menyenangkan melihat kegiatan berlaku di peringkat bawahan hasil daripada KPI," kata Rashid Abas, 60, seorang pesara yang sentiasa menaruh minat terhadap aktiviti pegawai-pegawai kerajaan.

"Kita dapat lihat sekarang lebih ramai menteri menanggalkan jaket dan menyinsing lengan untuk melihat sendiri masalah rakyat agar mereka dapat menyelesaikannya," kata beliau.

Sebab itu, kata beliau, rakyat kini sering bertembung dengan menteri di rumah-rumah pangsa yang sesak, pasar dan stesen bas, di lebuh raya yang sibuk, sekolah, hospital, malahan di kawasan sering dilanda banjir.

"Zaman kita hanya dapat menemui menteri memakai sut menarik melangkah di permaidani merah dan menerima cendera hati selepas menyampaikan ucapan, kini sudah berlalu," kata beliau.

"Saya fikir mereka kini mula mendengar denyutan nadi rakyat...sebagaimana Datuk Seri Najib mahukan selama ini," ujar beliau.

KPI yang diperkenalkan oleh Najib pada 9 April bagi menilai prestasi anggota pasukannya -- menteri dan timbalan menteri -- dalam mencapai matlamat pentadbirannya "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan".

Ini sebahagian daripada tindakan tegas untuk perubahan dan ketelusan lebih luas yang dijanjikan kerajaan demi memenuhi aspirasi rakyat.

KPI tidak lagi setakat slogan di kalangan mereka dalam lengkongan kerajaan. Ia kini merupakan pendekatan sistematik bagi mengukur prestasi, memfokus bukan saja kepada aspek kuantitif dan kualitatif tetapi juga kepuasan rakyat sebagai ukuran kemuncak.

Kini, malah terdapat dua menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi menyelia dan memantau pelaksanaan KPI.

Pelantikan terbaru Datuk Seri Idris Jala, bekas ketua pegawai eksekutif dan pengarah urusan Penerbangan Malaysia, sebagai menteri dan ketua pegawai eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Penyampaian (Pemandu) bagi membantu Senator Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dalam pelaksanaan KPI dengan tegas mencerminkan hakikat bahawa Najib benar-benar serius dalam bidang-bidang utama ini.

Perdana Menteri sendiri akan membuat penilaiannya ke atas 28 menteri dan 40 timbalan menteri menjelang November.

Utama pada KPI, pentadbiran Najib memperkenalkan enam NKRA -- mengurangkan jenayah, membanteras rasuah, membuka luas peluang pendidikan yang termampu dan berkualiti, meningkatkan taraf kehidupan masyarakat miskin, menambah baik infrastruktur di luar bandar dan menambah baik pengangkutan awam -- untuk dicapai antara penghujung tahun depan hingga 2012.

Dengan melaksanakan KPI dan NKRA, kerajaan sekarang yang berasaskan prestasi mahu menunjukkan bahawa ia terbuka dan telus bagi rakyat menilai sistem penyampaiannya dan bagaimana ini memanfaat mereka.

Sesetengah pihak melihat kerajaan mengambil risiko bila terlalu terbuka. Dan Najib baru-baru mengakui bahawa beliau menyedari risiko itu.

Tetapi perdana menteri pantas menyatakan bahawa KPI dan NKRA bererti kerajaan menganggap pencapaiannya sebagai sesuatu yang cukup telus dan terbuka.

"Akauntabiliti (ketika itu) menjadi prinsip utama dan ini akan dinilai oleh rakyat bila sampai masanya," kata Najib, yang dilihat oleh banyak pihak sebagai berpandangan ke depan dan berani menangani isu-isu asas kehidupan rakyat secara langsung.

Dengan bersifat lebih akauntabel, diharap rating penerimaan rakyat dan persepsi kerajaan terus meningkat.

"Rakyat akan menentukan sama ada mereka (kerajaan) bertindak betul dan jujur atau setakat untuk publisiti," kata Rashid.

"Rakyat akan mengundi -- bukan menerusi SMS seperti dalam program realiti TV tetapi menerusi peti undi -- tentang prestasi kerajaan bila tiba pilihan raya umum nanti.

"Pada masa itu, satu-satunya talian hayat yang mereka ada ialah rakyat," kata Rashid terus terang.

Oleh itu apa yang lebih mendesak sekarang ialah melaksanakan hasil di Putrajaya dan lebih jauh dari itu.

-- BERNAMA
Copyright 2017 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels