Bernama.com
Am 28 Ogos, 2009 17:27 PM
 
Usaha Kerajaan Kurangkan Pekerja Asing Berjaya


PUTRAJAYA, 28 Ogos (Bernama) -- Usaha kerajaan dari pelbagai sudut untuk mengurangkan pergantungan pada pekerja asing di negara ini terbukti berjaya, kata Ketua Pengarah Buruh Datuk Ismail Abdul Rahim Jumaat.

"Hasilnya, populasi pekerja asing dalam dua bulan lepas berkurangan sebanyak 200,000 - dari 2.1 juta pada Mei kepada 1.9 juta kini", katanya kepada Bernama.

Antara langkah yang diambil oleh kerajaan ialah penguatkuasaan ketat peraturan, menyekat pengambilan baru buruh asing, memberi keutamaan kepada warga tempatan, menambah baik kondisi kerja di kilang-kilang bagi menarik pekerja tempatan dan pembekuan lesen kepada syarikat-syarikat penyumberan luar buruh asing.

Penyelarasan dan komunikasi lebih baik di antara pelbagai agensi, pertubuhan bukan kerajaan, kesatuan sekerja dan majikan banyak membantu, kata beliau.

Ismail berkata Kementerian Sumber Manusia kini mengetatkan peraturan berhubung permohonan mendapatkan buruh asing oleh syarikat.

Pemohon perlu membuktikan mereka telah berusaha sedaya upaya bagi mendapatkan pekerja tempatan sebelum permohonan mereka diluluskan, katanya.

Ismail berkata jikapun kebenaran diberikan, syarikat berkenaan perlu mengekalkan nisbah antara pekerja tempatan dan asing.

"Kami telah memperkenalkan sistem kuota, di mana untuk sektor pembuatan yang ada kaitan dengan eksport, nisbah ialah 2 pekerja asing bagi tiap seorang pekerja tempatan dan bagi semua sektor lain seorang pekerja tempatan bagi seorang pekerja asing," kata beliau.

Mengenai import kira-kira 70,000 pekerja baru Pakistan menjelang Disember seperti dilaporkan, beliau berkata pekerja ini akan tertakluk kepada beberapa peraturan yang berkuatkuasa sekarang.

Misalnya, bagi mana-mana industri yang mahu mengambil pekerja ini, mereka perlu menentukan mengikut kuota tersebut.

Semalam, Pesuruhjaya tinggi Pakistan di sini, Lt. Gen. Tahir Mahmoud Qazi, dilaporkan berkata negaranya akan menambah bilangan pekerja Pakistan di negara ini hampir tiga kali ganda daripada jumlah sekarang menjelang hujung tahun ini.

Pada masa ini terdapat 30,000 pekerja Pakistan kebanyakannya di sektor pembinaan, perkhidmatan dan perladangan.



-- BERNAMA


Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels