Bernama.com
Am 27 Ogos, 2009 20:42 PM
 
245 Kes Penipuan Oleh Warga Asing Sehingga 25 Ogos


ALOR SETAR, 27 Ogos (Bernama) -- Jabatan Kastam Diraja Malaysia merekod 245 kes penipuan oleh sindiket rakyat asing yang menjadikan rakyat tempatan sebagai mangsa mereka dari Januari hingga 25 Ogos lepas.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Pengurusan) Datuk Khazali Ahmad berkata dalam kes terbaru, aktiviti penipuan sindiket itu dibuat melalui Internet dengan turut mengaitkan nama jabatan itu.

"Sindiket ini menggunakan modus operandi yang hampir sama iaitu berkenalan dengan mangsa mereka melalui Internet. Setelah beberapa lama berkenalan, mangsa kemudiannya dijanjikan akan diberikan hadiah.

"Kemudian ada orang yang mengaku sebagai agen penghantar bungkusan menghubungi mangsa dengan mengatakan barang untuk mereka telah sampai tetapi ditahan Kastam Malaysia.

"Mangsa diberikan nombor resit dan nombor rujukan bungkusan tersebut. Mangsa diminta menjelaskan sejumlah bayaran untuk mendapatkan barangan tersebut. Agen akan menghubungi mangsa berulang kali sehingga mangsa membayar wang pemprosesan yang dituntut.

"Namun setelah wang selesai dibayar, agen dan rakan Internet mangsa tidak dapat dihubungi lagi," kata Khazali kepada pemberita.

Beliau berkata ramai mangsa terdiri daripada wanita yang membuat laporan setelah menyedari mereka ditipu.

Beliau berkata terdapat juga kes di mana mangsa ditipu rakan Internet mereka dengan memberitahu bahawa kenalan mangsa sedang ditahan kerana membawa mata wang asing berlebihan lalu meminta mangsa membayar wang kepada kastam bagi membebaskan mereka.

"Saya hairan dengan sikap mangsa yang tidak menghubungi kastam terlebih dahulu untuk membuat pengesahan sebelum membuat pembayaran," kata Khazali.

Orang ramai boleh menghubungi talian bebas tol kastam 1-800-88-8855 atau pejabat kastam terdekat untuk membuat pengesahan, katanya.



-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels