Bernama.com
Am 26 Ogos, 2009 18:30 PM
 
Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 Akan Dipinda Bagi Atasi Kelemahan - Suhakam


KUALA LUMPUR, 26 Ogos (Bernama) -- Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) mencadangkan kepada pejabat Peguam Negara supaya menumpukan kepada usaha bagi meningkatkan kemahiran Polis Diraja Malaysia dalam beberapa perkara berhubung Pemerdagangan Orang.

Pesuruhjaya SUHAKAM Datuk Dr Raj Abdul Karim berkata dua kelemahan Polis yang dikenalpasti suruhanjaya itu berhubung Pemerdagangan Orang ialah berhubung soal mengenal pasti mangsa dan proses penghantaran pulang mangsa yang dilihat masih mempunyai kelemahan.

Dr Raj berkata, perkara itu perlu diperbaiki segera bagi membanteras kes pemerdagangan orang di negara ini serta memastikan mangsa tidak dilayan seperti pesalah.

"Kita perlu melihat kembali Undang-undang Anti Penyeludupan di Malaysia kerana terdapat sedikit kekurangan dan ada sesetengah perkara yang boleh diperkukuhkan, katanya.

Adalah penting untuk mempunyai sistem pengenalan dan saringan bagi membezakan semasa serbuan ke atas sesetengah premis hiburan sama ada mereka yang ditangkap boleh dianggap sebagai penyeludupan manusia atau sukarela, katanya kepada pemberita pada Bengkel Pembangunan Protokol ASEAN, Institut Hak Asasi Kebangsaan (NHRI) Terhadap Pemerdagangan Wanita dan Kanak-Kanak di sini Rabu.

Katanya latihan untuk meningkatkan kemahiran berkenaan tidak harus terhad kepada anggota dan pegawai polis tetapi hendaklah turut membabitkan agensi penguatkuasaan lain seperti Kastam, Imigresen, Agensi Penguatkuasaan Maritim dan juga Rela.

"Anggota agensi penguatkuasaan kena tahu cara untuk layan mangsa, jangan sekali-kali melayan mereka seperti orang yang bersalah. Mereka perlu lebih berhati-hati tentang bagaimana hendak tanya soalan dan menguruskan mangsa.

"Latihan ini semuanya sangat penting. Mereka jangan marah-marah, kalau anda marah, garang tiada siapa yang akan memberi jawapan dan kerjasama atau memberi maklumat yang betul maka sebab itulah polis perlu dilatih dengan betul dan berikan perlindungan yang betul," jelasnya.

Dr Raj berkata, SUHAKAM juga mahu Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 diperkemaskan bagi memastikan proses penghantaran pulang mangsa ke negara asal mereka dapat dilakukan secara sempurna.

"Ini kerana prosedur penghantaran pulang mangsa tidak begitu tepat kerana ketiadaan penyediaan mental dan fizikal mangsa. Bukan semua mangsa merupakan pesalah," jelas beliau.

"Selain itu, akta yang sedia ada hanya membenarkan sesebuah pusat penempatan mangsa diuruskan kerajaan tetapi selepas ini kita mahu Badan Bukan Kerajaan (NGO) juga boleh menguruskan pusat penempatan seumpama itu," tambahnya.

Setakat ini, Malaysia hanya mempunyai tiga pusat penempatan iaitu dua di Kuala Lumpur dan satu di Sabah.

Akta Pemerdagangan Orang 2007 kini sedang dikaji Pejabat Peguam Negara dalam usaha untuk membuat beberapa pindaan kepada akta itu.

Sementara itu, ketika mengulas mengenai hasil rumusan bengkel dua hari itu, Dr Raj berkata wakil NHRI dari Malaysia, Indonesia, Filipina dan Thailand sebulat suara berhasrat untuk menggiatkan langkah pencegahan dalam menangani isu permerdagangan wanita dan kanak-kanak secara bersama dengan meningkatkan penyebaran maklumat berhubung perkara itu kepada orang ramai.



-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels